KUCHING: Kumpulan ALL STARS dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Premier Sarawak 2026.
Pengiktirafan itu diberikan sempena sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) dan Anugerah Konvensyen Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSICA) 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Sarawak, hari ini.
Anugerah berkenaan ialah pengiktirafan tertinggi kepada kumpulan inovatif dan kreatif (KIK) dalam Perkhidmatan Awam Sarawak atas usaha, komitmen dan pencapaian menghasilkan idea serta penyelesaian inovatif yang menyumbang kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.
Susulan itu, Kumpulan ALL STARS membawa pulang trofi dan wang tunai RM15,000 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian serta sumbangan inovasi mereka.
Pada masa yang sama, kumpulan itu turut memenangi kategori Agensi Utama Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) bagi Anugerah Inovasi SCSICA 2026.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir merasmikan majlis, sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah berkenaan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian anugerah bagi tiga kategori lain, iaitu Pejabat Residen dan Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan serta Agensi Persekutuan.
Kumpulan TAPOW dari Pejabat Residen Bahagian Mukah memenangi kategori Pejabat Residen dan Daerah, manakala Kumpulan EAGLE dari Majlis Perbandaran Sibu memenangi kategori Pihak Berkuasa Tempatan.
Kumpulan OK (Orang Kastam) dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia pula muncul sebagai pemenang kategori Agensi Persekutuan.
Setiap pemenang bagi empat kategori berkenaan menerima trofi dan wang tunai RM5,000.
Konvensyen SCSICA 2026 anjuran Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) berlangsung di Kuching dari 19 hingga 22 Oktober lalu, dengan penyertaan 51 kumpulan KIK yang mempamerkan pelbagai idea dan projek inovasi.
Penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan warga SCS dalam meneroka pendekatan baharu, menghasilkan penyelesaian kreatif serta memperkenalkan penambahbaikan yang berpotensi meningkatkan produktiviti dan prestasi perkhidmatan awam negeri.
Penganjuran SCSICA 2026 juga sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk memupuk budaya inovasi, kreativiti dan penambahbaikan secara berterusan, selain memperkasakan keupayaan penjawat awam serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.





