ARTIKEL

Konvokesyen UNIMAS: Keluarga bertolak jam 4 pagi demi Zurina

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Jarak perjalanan yang jauh dan kepenatan bukan penghalang buat keluarga hadir bersama untuk meraikan kejayaan insan tersayang, khususnya pada hari bersejarah seperti konvokesyen.

Itulah kisah satu keluarga yang memandu sejauh kira-kira 463 kilometer (km) dari Mukah ke Kota Samarahan untuk meraikan kejayaan anak saudara mereka.

Jemaiyah Mahli, 56, berkata, jarak perjalanan dari Mukah ke sini bukan penghalang kepada mereka sekeluarga kerana ingin menyaksikan sendiri kejayaan anak saudaranya, Nur Alyssa Alieyana Jais, yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Katanya, Nur Alyssa ialah anak saudara perempuan pertama dalam keluarga mereka yang berjaya memperoleh ijazah sarjana muda dan pencapaian itu pastinya menjadi kebanggaan buat seluruh keluarga.

“Penat lelah kami dari Mukah ke Kuching dan Kota Samarahan tidak menjadi masalah kerana kami sangat teruja untuk melihat anak saudara berjaya menamatkan pengajiannya.

“Kehadiran kami sekeluarga ke sini bukan sekadar untuk memberikan sokongan, malah kami juga mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di Kuching sambil melawat Jambatan Batang Lupar 1,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kelima Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30, di sini, hari ini.

(Dari kiri) Elerin, Dyvia Connie dan Andriana, dari Serian, mengenakan pakaian tradisional masyarakat Bidayuh.

Menurutnya, dia juga pernah menemani anak saudaranya itu ketika mendaftar masuk ke UNIMAS dan sejak itu sentiasa memberikan sokongan penuh sepanjang pengajiannya.

“Saya berharap kejayaan anak saudara saya ini dapat menjadi contoh kepada ahli keluarga dan adik-adiknya yang lain,” ujarnya.

Sementara itu, keluarga Andriana John, 23, bertolak dari Kampung Seroban, Serian seawal jam 4 pagi bagi meraikan hari bersejarah adiknya, Zurina John.

Ketika berkongsi cerita dengan Suara Sarawak, Andriana memberitahu mereka sekeluarga sememangnya merancang mengenakan pakaian tradisional Bidayuh bagi mengabadikan kenangan manis itu dalam gambar.

“Kami datang bersama-sama ibu bapa, datuk dan nenek serta adik-adik sepupu, Dyvia Connie Agob, 15, dan Tiara Elerin Oliver, 14.

“Mereka juga sanggup bangun seawal jam 2 pagi untuk menemani Zurina bersolek, selain turut membuat persiapan diri masing-masing.

“Jadi, inilah pengorbanan yang kami lakukan untuk memberikan sokongan kepada Zurina pada hari bersejarahnya ini,” ujarnya.

Andriana turut berharap kejayaan adiknya menamatkan pengajian dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada adik sepupu mereka yang masih bersekolah.

BERITA LAIN

MAIS Kaji Cadangan Pengkodifikasian Adat Tagal

LAWAS: Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS) menjalankan kajian awal bagi menilai keperluan dan kebolehlaksanaan cadangan pengkodifikasian ‘Adat Tagal’ susulan permohonan masyarakat berkenaan. Kajian itu bertujuan

BERITA TERBARU

Sarawak terus pupuk budaya inovasi penjawat awam

KUCHING: Kumpulan ALL STARS dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Premier Sarawak 2026. Pengiktirafan itu diberikan sempena sambutan Hari Perkhidmatan