KUCHING: Musim tengkujuh, cabaran logistik di kawasan pedalaman serta sambutan Krismas yang semakin hampir menjadi antara faktor utama yang mendorong jangkaan bahawa 12 Disember ini ialah tarikh paling munasabah bagi hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.
Penganalisis politik, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal, berkata, berdasarkan pertimbangan itu, beliau menjangkakan hari penamaan calon diadakan pada 28 November, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jadual alternatif ditetapkan, iaitu penamaan calon pada 5 Disember, pengundian awal pada 15 Disember dan hari mengundi pada 19 Disember.
“Jangkaan ini mengambil kira amalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya Sabah tahun lalu, apabila penamaan calon dan hari mengundi diadakan pada Sabtu manakala pengundian awal berlangsung pada Selasa dengan tempoh kempen selama 14 hari,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.
Menurutnya, Disember lebih munasabah berbanding November memandangkan SPR dijadualkan bermesyuarat pada 6 November ini bagi menentukan tarikh penting pilihan raya itu.
Beliau menjelaskan, sekiranya pengundian diadakan pada penghujung November, penamaan calon perlu berlangsung kira-kira lapan hari selepas mesyuarat SPR, sekali gus menghadkan tempoh persediaan bagi sebuah negeri yang luas dan mempunyai cabaran perhubungan seperti Sarawak.
“Sebagai perbandingan, pada pilihan raya Sarawak 2021, pengundian diadakan pada 18 Disember, iaitu 45 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Had tempoh 60 hari kali ini pula jatuh pada 25 Disember, bersamaan Hari Krismas. Justeru, pengundian sebelum minggu sambutan perayaan itu dilihat lebih munasabah,” katanya.
Sebagai rekod, pada PRU Sarawak ke-12 yang berlangsung pada 2021, SPR menetapkan 6 Disember sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 14 Disember dan hari mengundi pada 18 Disember.
Pilihan raya tersebut melibatkan pertandingan bagi 82 kerusi DUN dengan tempoh berkempen selama 12 hari, bermula selepas penamaan calon sehingga tengah malam sebelum hari pengundian.
Mengulas lanjut, Ammar Redza berkata, musim tengkujuh antara faktor paling penting yang perlu dipertimbangkan SPR, khususnya bagi memastikan kelancaran proses pengundian di kawasan pedalaman.
Menurutnya, beberapa episod hujan lebat yang dijangka berlaku antara November hingga Januari, termasuk di Sarawak, berpotensi menjejaskan pergerakan petugas, penghantaran peralatan pilihan raya serta akses pengundi ke pusat mengundi.
“Keadaan ini menyebabkan saya menjangkakan pengundian lebih sesuai diadakan pada awal atau pertengahan Disember bagi mengurangkan risiko gangguan akibat cuaca,” katanya.
Selain faktor cuaca, beliau berkata, cuti persekolahan yang dijadualkan bermula pada 5 Disember turut memudahkan penggunaan sekolah sebagai pusat mengundi.
“Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berlangsung sehingga 17 Disember perlu diambil kira bagi mengelakkan gangguan terhadap calon peperiksaan.
“Pengundian pada hari Sabtu dilihat sebagai pilihan paling sesuai kerana dapat mengurangkan pertindihan dengan urusan persekolahan dan peperiksaan,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau berkata, sambutan Krismas dan pergerakan penduduk yang pulang ke kampung halaman turut berpotensi mempengaruhi kadar keluar mengundi.
Mengenai daftar pemilih, Ammar Redza menjangkakan SPR akan menggunakan Daftar Pemilih Tambahan September 2026 yang menurutnya diwartakan pada 22 Oktober lalu.
Katanya, daftar berkenaan dikemas kini sehingga sehari sebelum pembubaran DUN, manakala individu yang mencapai usia 18 tahun selepas tarikh kelayakan ditetapkan tidak akan termasuk dalam daftar pemilih yang digunakan.
Beliau turut merujuk Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih serta Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 yang memperuntukkan bahawa daftar pemilih yang telah diperakui tidak boleh dipertikaikan di mahkamah.
Sementara itu, beliau menjangkakan tempoh kempen selama 14 hari akan dikekalkan, namun menyifatkan tempoh tersebut sebagai cabaran kepada calon yang bertanding di kawasan pedalaman seperti Belaga dan Ba’kelalan.
“Tempoh berkenaan mungkin mencukupi bagi kawasan bandar, tetapi lebih mencabar di kawasan pedalaman berikutan jarak perjalanan yang jauh serta kemudahan pengangkutan yang terhad.
“Keadaan ini lebih menguntungkan parti yang mempunyai jentera kukuh di peringkat akar umbi berbanding parti kecil,” katanya.
Ammar Redza turut berharap SPR mengutamakan keselamatan pengundi dan petugas pilihan raya sepanjang musim tengkujuh bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Pada masa sama, beliau berharap kempen PRU Sarawak ke-13 memberikan tumpuan kepada isu pembangunan luar bandar serta peluang pekerjaan untuk golongan muda di negeri ini.






