BERLIN: Permintaan elektrik bagi pusat data di Jerman dijangka melonjak dalam beberapa tahun akan datang susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI).
Tinjauan persatuan industri digital Bitkom menganggarkan pusat data dan kemudahan teknologi maklumat (IT) yang lebih kecil memerlukan kira-kira 23 bilion kilowatt-jam (kWh) elektrik menjelang 2026.
Jumlah itu secara kasarnya setara dengan penggunaan elektrik tahunan sekitar 6.5 juta isi rumah, manakala penggunaannya dijangka mencecah 35 hingga 38 bilion kWh menjelang 2030 dan 56 hingga 70 bilion kWh menjelang 2035.
Dalam pada itu, pihak industri memberi amaran bahawa kapasiti grid yang tidak mencukupi dan prosedur kelulusan yang berlarutan boleh menjadi penghalang utama kepada hasrat Jerman menjadi hab digital seperti dilapor Bernama.
Presiden Bitkom, Ralf Wintergerst, menegaskan pada Sidang Kemuncak Digital di Berlin bahawa negara yang ketinggalan dari segi infrastruktur akan turut ketinggalan dalam bidang AI, sementara persatuan itu menggesa bantuan khusus bagi harga elektrik dan perancangan yang lebih pantas.






