KUCHING: Semua kementerian, jabatan dan agensi di Sarawak digesa mempercepat pelaksanaan keutamaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerana tempoh menuju sasaran Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 semakin singkat.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini berada pada fasa penting pelaksanaan PCDS 2030 dan keberkesanan sepanjang tempoh RMK-13 akan menentukan sejauh mana aspirasi pembangunan negeri dapat direalisasikan.
“Kita mesti bertindak segera dan mempercepatkan pelaksanaan kerana masa yang ada semakin singkat untuk merealisasikan aspirasi pembangunan Sarawak menjelang tahun 2030.
“Justeru, setiap keutamaan pembangunan di bawah RMK-13 perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan berkesan dengan sasaran jelas, tanggungjawab yang ditetapkan serta pemantauan berterusan,” katanya pada sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Beliau menambah, setiap kementerian, jabatan dan agensi perlu memahami peranan masing-masing serta memastikan program dan projek yang dilaksanakan saling melengkapi dan tidak bergerak secara berasingan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak kini memasuki fasa kedua dan terakhir pelaksanaan PCDS 2030 bersama RMK-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030, sekali gus menuntut pelaksanaan lebih pantas dan berorientasikan hasil.
“Rakyat mahu melihat jalan raya dan infrastruktur asas disiapkan, perkhidmatan awam yang mudah dicapai dan boleh dipercayai, peluang ekonomi lebih luas serta peningkatan nyata dalam kualiti kehidupan.
“Setiap perancangan mesti disusuli dengan tindakan yang sewajarnya. Sebarang kelemahan atau kekangan perlu dikenal pasti dan diselesaikan segera supaya tidak menjejaskan kemajuan sasaran pembangunan yang telah ditetapkan.
“Sehubungan itu, teknologi digital perlu digunakan bagi memperkukuh pembuatan keputusan, meningkatkan produktiviti serta menyediakan perkhidmatan awam yang lebih mudah diakses, responsif dan cekap,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara perkhidmatan awam Sarawak dengan Persekutuan bagi menyelaraskan keutamaan pembangunan serta menangani kekangan pelaksanaan.
“Kerjasama itu penting untuk memastikan sumber yang tersedia dapat dimanfaatkan secara optimum, di samping mengelakkan pertindihan dan mempercepat penyampaian projek kepada rakyat.
“Hubungan yang kukuh ini menjadi asas penting untuk memastikan dasar dan program pembangunan dilaksanakan secara terselaras.
“Tanpa mengira peranan atau bidang tanggungjawab, semua penjawat awam berkongsi matlamat sama iaitu memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada perkhidmatan asas berkualiti,” tegasnya.
Beliau berkata, pelaksanaan pembangunan juga perlu memastikan tiada komuniti, termasuk di luar bandar dan pedalaman, tercicir daripada arus kemajuan negeri.




