KUCHING: Tempoh kempen antara 12 hingga 14 hari yang dijangka bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 menimbulkan persoalan sama ada calon di kawasan pedalaman mempunyai masa yang mencukupi untuk mendekati pengundi, khususnya di kampung dan rumah panjang yang sukar diakses.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Dr Nur Aida Kipli berkata, meskipun tempoh kira-kira dua minggu secara umumnya dianggap sesuai, perbezaan keadaan geografi antara 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu dipertimbangkan sewajarnya.
Menurutnya, tempoh kempen yang dijangka berdasarkan pengalaman pilihan raya Sarawak pada 2021 itu mungkin menjadi cabaran kepada calon yang bertanding di kawasan luar bandar dan pedalaman kerana jarak perjalanan yang jauh serta akses pengangkutan yang terhad.
“Persoalan yang lebih penting ialah sama ada tempoh tersebut benar-benar mencukupi untuk membolehkan calon mendekati pengundi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
“Tidak dinafikan, sesetengah kawasan memerlukan perjalanan jauh melalui jalan darat dan sungai, malah terdapat laluan yang mempunyai akses amat terhad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, keadaan geografi Sarawak yang luas, dengan penempatan penduduk yang berjauhan antara satu sama lain, turut menyukarkan pergerakan calon untuk mengunjungi kampung dan rumah panjang dalam tempoh kempen yang singkat.
Katanya, sebahagian komuniti di pedalaman masih bergantung pada pengangkutan sungai, jalan balak serta laluan darat yang mempunyai kemudahan perhubungan terhad.
“Calon yang bertanding di kawasan pedalaman akan berdepan cabaran untuk mengunjungi sebanyak mungkin kampung dan rumah panjang dalam tempoh yang singkat.
“Perkara ini perlu dipertimbangkan sewajarnya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menguruskan pilihan raya Sarawak kali ini,” katanya.
Nur Aida menjangkakan tempoh kempen PRU Sarawak ke-13 ditetapkan antara 12 hingga 14 hari berdasarkan pengalaman PRU Sarawak pada 2021, namun keputusan muktamad tertakluk kepada SPR.
Mengulas mengenai jangkaan tarikh pengundian, beliau berpandangan Disember ini ialah tempoh paling relevan untuk mengadakan PRU Sarawak ke-13, mengambil kira had 60 hari selepas pembubaran DUN, kitaran pilihan raya serta kalendar perayaan.
Menurutnya, pembubaran DUN Sarawak yang berkuat kuasa pada 26 Oktober lalu bermakna pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak.
“Berdasarkan peruntukan tersebut, pilihan raya negeri perlu diadakan selewat-lewatnya pada 25 Disember 2026.
“Justeru, Disember dilihat relevan bukan semata-mata kerana menjadi penghujung tahun, tetapi turut mengambil kira keperluan perlembagaan, kitaran pilihan raya dan kalendar perayaan,” katanya.
Beliau berkata, pilihan raya Sarawak terdahulu yang berlangsung pada 18 Disember 2021 turut menjadi salah satu asas pertimbangan, memandangkan Disember tahun ini menandakan genap lima tahun sejak pilihan raya berkenaan diadakan.
Selain itu, katanya, cuti akhir tahun dan sambutan Krismas turut perlu diberi perhatian bagi memastikan proses pilihan raya dapat dilaksanakan dengan teratur dan harmoni.
Dalam pada itu, Nur Aida berkata, musim tengkujuh, cuti persekolahan serta cabaran logistik di kawasan pedalaman dijangka menjadi antara faktor penting yang perlu dipertimbangkan SPR sebelum menetapkan tarikh pengundian.
Menurutnya, keadaan geografi Sarawak yang luas serta sebahagian penempatan yang sukar diakses memerlukan perancangan teliti bagi memastikan kelancaran operasi pilihan raya.
“Faktor tersebut perlu diteliti sebaik-baiknya sebagai sebahagian daripada pertimbangan operasi dan pengurusan pilihan raya.
“Bagaimanapun, cabaran berkenaan bukan penghalang mutlak untuk mengadakan pilihan raya pada Disember,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan SPR perlu mengambil kira ramalan cuaca dan risiko banjir dalam menentukan tarikh pengundian.
Mengenai daftar pemilih, Nur Aida berkata, Daftar Pemilih Tambahan (DPT) September 2026 telah diperakui dan diwartakan pada 22 Oktober lalu, dengan tempoh semakan sehingga 20 November ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa daftar pemilih terkini tidak semestinya menjadi daftar yang akan digunakan pada PRU Sarawak ke-13 kerana keputusan akhir tertakluk kepada ketetapan SPR.
Sebagai rekod, pada PRU Sarawak ke-12, SPR menetapkan 6 Disember 2021 sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 14 Disember dan hari mengundi pada 18 Disember.
Pilihan raya tersebut melibatkan 82 kerusi DUN dengan tempoh berkempen selama 12 hari.
SPR dijadualkan mengadakan mesyuarat khas pada 6 November ini bagi membincangkan tarikh penting PRU Sarawak ke-13, termasuk hari penamaan calon, pengundian awal dan hari mengundi.





