ARTIKEL

Pertahan 47 kerusi PBB, 82 kerusi GPS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memburu kemenangan di kesemua 47 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak ke-12, kata Timbalan Presidennya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata jentera pilihan raya parti itu sudah bersedia, dengan beberapa aspek persiapan masih diperhalusi menjelang Pilihan Raya Umum DUN Sarawak ke-13.

“Persiapan kita di PBB semua dah siap sedia. Jentera pilihan raya pun sudah bersedia, cuma kita nak memperhalusi lagi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat PBB yang dipengerusikan Pengerusi PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Ibu Pejabat PBB, hari ini.

Justeru, penyandang Bukit Sari itu berkata, sasaran 47 kerusi PBB berkenaan seiring dengan matlamat lebih besar GPS untuk menyapu bersih kesemua 82 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum DUN Sarawak kali ini.

Awang Tengah berkata, kemenangan GPS penting bagi memastikan agenda pembangunan Sarawak dapat diteruskan, selain memperkukuh kepimpinan Premier Sarawak.

Katanya, mandat rakyat juga penting bagi membolehkan kerajaan terus menjaga kebajikan masyarakat dan mempertahankan hak Sarawak.

“Kita bergerak setiap hari dan bukan sahaja masa pilihan raya. Semasa susah, semasa senang, kita bersama rakyat. Jadi, kita bekerja bukan masa pilihan raya sahaja. Inilah PBB,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Awang Tengah berkata mesyuarat PBB bersetuju memberikan mandat penuh kepada Abang Johari selaku Presiden PBB dan Pengerusi GPS untuk menentukan calon yang akan mewakili parti serta gabungan itu pada PRN akan datang.

“Keputusan itu meletakkan penentuan calon di bawah mandat kepimpinan Abang Johari, termasuk bagi kerusi yang bakal ditandingi GPS,” jelasnya.

Untuk rekod, PBB yang ditubuhkan pada 30 April 1973 hasil gabungan Parti Bumiputera dan Parti Pesaka Sarawak merupakan parti teras dalam GPS serta mempunyai pengaruh besar dalam politik Sarawak sejak lebih lima dekad lalu.

Pada PRU DUN Sarawak ke-12, PBB memenangi kesemua 47 kerusi yang ditandinginya, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kepada kemenangan GPS yang memperoleh 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

BERITA LAIN

Sarawak perlu perkukuh STEM, budaya penyelidikan

KUCHING: Kunjungan penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini, ke Sarawak membuka ruang untuk perkongsian kepakaran dan pertukaran pandangan bagi memperkukuh bidang sains, penyelidikan

Sarawak gesa agensi percepat projek RMK-13 sebelum 2030

KUCHING: Semua kementerian, jabatan dan agensi di Sarawak digesa mempercepat pelaksanaan keutamaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kerana tempoh menuju sasaran Strategi Pembangunan

BERITA TERBARU