ARTIKEL

Profesor Madya Dr Mazli Ali.

Tarikh PRU Sarawak perlu elak musim monsun, Krismas – Penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penetapan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13 perlu mengambil kira musim monsun dan sambutan Krismas bagi mengelakkan gangguan terhadap urusan pengundian serta pergerakan masyarakat di negeri ini.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazli Ali berkata, Monsun Timur Laut yang lazimnya bermula pada November dan memuncak dari Disember hingga Januari berpotensi menjejaskan perjalanan pilihan raya, khususnya di kawasan pedalaman.

Katanya, taburan hujan tinggi boleh menyebabkan banjir, banjir kilat dan kenaikan paras air di kawasan pesisir serta pedalaman, sekali gus menyukarkan pergerakan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pengundi.

“Saya percaya SPR akan cuba menyelesaikan pengundian seawal mungkin pada Disember ini bagi mengelakkan pusat-pusat pengundian ditenggelami air ataupun laluan sungai terputus yang akan menyebabkan kesukaran kepada petugas SPR dan juga pengundi,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai kawasan geografi yang luas dan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pedalaman seperti Baram, Belaga, Murum dan Ulu Rejang memerlukan perancangan pengangkutan yang lebih teliti.

Menurutnya, pengangkutan di kawasan berkenaan banyak bergantung kepada bot panjang, laluan balak dan lori balak, malah SPR dalam keadaan tertentu terpaksa menggunakan helikopter untuk menghantar peti undi.

Katanya, keadaan cuaca buruk sepanjang musim monsun turut boleh menyukarkan operasi penerbangan helikopter dan navigasi sungai.

Selain itu, beliau berkata, sambutan Krismas pada 25 Disember juga perlu menjadi pertimbangan kerana tarikh mengundi yang terlalu hampir dengan perayaan itu boleh mengganggu persiapan masyarakat, khususnya tradisi pulang ke kampung.

“Menetapkan tarikh mengundi terlalu hampir dengan 25 Disember akan mengganggu persiapan cuti tradisi balik kampung dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengundi tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Mazli menjangkakan hari mengundi biasa bagi PRU Sarawak Ke-13 berkemungkinan berlangsung pada 5 Disember atau selewat-lewatnya 12 Disember ini.

Katanya, penamaan calon pula dijangka diadakan sekitar 18 hingga 21 November, manakala pengundian awal berkemungkinan berlangsung pada 1 atau 2 Disember.

Beliau berkata, jangkaan itu mengambil kira Mesyuarat Khas SPR pada 6 November ini, selain tempoh persediaan yang diperlukan untuk mengeluarkan writ pilihan raya, notis rasmi dan mencetak kertas penamaan calon.

“Biasanya SPR memerlukan sekurang-kurangnya antara 10 hingga 14 hari bagi urusan mengeluarkan writ pilihan raya, notis rasmi dan percetakan kertas penamaan calon sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Menurutnya, awal Disember, khususnya sekitar 5 Disember, lebih munasabah berbanding penghujung November kerana SPR memerlukan masa yang mencukupi untuk menguruskan persiapan pilihan raya, termasuk logistik undi pos bagi kategori 1A, 1B dan 1C.

Katanya, kertas undi perlu dicetak sejurus selepas penamaan calon sebelum dihantar kepada pengundi pos bagi membolehkan proses pengundian dilaksanakan mengikut jadual.

Beliau berkata, pilihan raya juga tidak wajar ditangguhkan sehingga penghujung tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN pada 26 Oktober lalu kerana tarikh berkenaan terlalu hampir dengan sambutan Krismas dan kemuncak musim monsun.

Dalam perkembangan berkaitan, Mazli berkata, Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Ogos atau September 2026 berkemungkinan menjadi asas daftar pemilih yang digunakan dalam PRU Sarawak Ke-13, tertakluk kepada daftar terkini yang diperakui dan diwartakan sebelum pembubaran DUN.

Katanya, daftar pemilih yang sah dan diwartakan diperlukan sebagai asas senarai semakan di setiap saluran pusat mengundi, termasuk bagi memastikan pengundi yang mencapai usia 18 tahun dalam tempoh ditetapkan layak menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurutnya, pendaftaran pemilih secara automatik membolehkan pertambahan pengundi muda diambil kira dalam komposisi demografi pengundi Sarawak.

Mengenai tempoh berkempen, beliau menjangkakan SPR menetapkan antara 12 hingga 14 hari berdasarkan amalan pilihan raya kebelakangan ini.

Katanya, tempoh berkenaan secara umumnya mencukupi bagi kawasan bandar dan separa bandar yang mempunyai kepadatan penduduk serta capaian internet lebih baik untuk kempen menerusi media sosial.

Bagaimanapun, tempoh yang sama boleh menjadi cabaran kepada calon di kawasan luar bandar dan pedalaman yang perlu menjejaki rumah panjang serta penempatan yang berjauhan.

“Di kawasan pedalaman, taburan rumah panjang yang berselerak dan hanya boleh diakses melalui perjalanan sungai berjam-jam atau jalan tanah merah menyebabkan calon memerlukan masa lebih panjang untuk menjejaki setiap penempatan.

“Pada saya, 14 hari itu wajar, cuma calon-calon luar bandar mempunyai sedikit cabaran tetapi mereka perlu menghadapinya kerana SPR tidak boleh memanjangkan tempoh kempen mengikut kawasan,” katanya.

Beliau berkata, penetapan tempoh kempen perlu mengambil kira keperluan calon mendekati pengundi serta risiko cuaca monsun yang semakin buruk menjelang penghujung Disember.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sarawak perlu perkukuh STEM, budaya penyelidikan

KUCHING: Kunjungan penerima Hadiah Nobel Fizik 2023, Profesor Pierre Agostini, ke Sarawak membuka ruang untuk perkongsian kepakaran dan pertukaran pandangan bagi memperkukuh bidang sains, penyelidikan