KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyampaikan takziah atas pemergian bekas Pro-Canselornya, Allahyarham Tan Sri Dr Asiah Abu Samah, yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Dalam kenyataan hari ini, UMK memaklumkan Allahyarham memegang jawatan Pro-Canselor selama tiga tahun, iaitu dari 18 Okt 2021 hingga 17 Okt 2024.
Canselor UMK, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, menyempurnakan pelantikan itu pada Istiadat Konvokesyen UMK Kali ke-10 dan ke-11 di Dewan Tuanku Canselor pada 20 Nov 2021.
Universiti itu menyifatkan pemergian beliau sebagai satu kehilangan, sekali gus mengiktiraf sumbangan, khidmat bakti dan komitmennya sepanjang memikul amanah tersebut, manakala seluruh warga UMK turut mendoakan kesejahteraan rohnya serta menyampaikan simpati kepada keluarga seperti dilapor Bernama.
Dilahirkan di Parit, Perak, pada 1 Mac 1937, Asiah ialah wanita pertama dilantik sebagai ketua Pengarah Pendidikan dan banyak menyumbang kepada pembangunan serta pemantapan sistem pendidikan negara.





