“KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Peribahasa klasik ini membawa makna, cita-cita, harapan dan kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha gigih dan pengorbanan.
Jasnita Kent dari Rumah Anding, Sungai Melinau, Kapit dan Nur Hafizah Auda dari Kampung Baru, Tatau, ialah antara 41 graduan perubatan tajaan Yayasan Sarawak yang diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-30 UNIMAS di DeTAR PUTRA, Selasa lalu.
Berasal daripada keluarga B40, bukan halangan bagi mereka untuk mengecapi kejayaan yang membanggakan, sekali gus menyahut seruan Kerajaan Sarawak, bagi menambah jumlah doktor di negeri ini.
Malah ia juga bagi memastikan Sarawak mempunyai doktor dan pakar yang mencukupi untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh pelosok negeri.
Ia juga membuktikan betapa anak tempatan sangat berpotensi, untuk menjadi doktor, serta tenaga prosefional dalam bidang kesihatan.
Jasnita dan Hafizah turut menerima tajaan penuh Yayasan Sarawak, merangkumi yuran pengajian, penginapan di kolej serta elaun sara hidup tahunan sepanjang tempoh pengajian.
Kejayaan dua pelajar ini membuktikan bagaimana pengaruh “dua faktor” penting.
Pertama, tekad untuk berjaya dan kedua, bantuan (Yayasan Sarawak) memainkan peranan dalam melahirkan individu berilmu.
“Setiap kali memerlukan wang tambahan menjelang hujung bulan untuk menampung perbelanjaan,
ibu akan bekerja keras menganyam dan menyiapkan hasil anyaman dengan segera supaya dapat dijual untuk mendapatkan wang,” ujar Jasnita yang sangat menghargai biasiswa penuh daripada Yayasan Sarawak. “
Manakala, bapa terpaksa berjauhan selama berbulan-bulan demi mencari nafkah. Itulah perkara yang paling saya ingat,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Bagi Nur Hafizah, bantuan Yayasan Sarawak banyak membantu, meringankan beban sepanjang tempoh pengajian.
“Bantuan bukan sahaja dari segi yuran pengajian dan pembelajaran, tetapi juga kos pengangkutan, khususnya penerbangan antara uching dengan Bintulu.
Dengan bantuan ini, saya data fokus kepada pelajaran,” ujarnya. Kerajaan Sarawak cukup prihatin dengan peluang dan harapan anak-anak Bumi Kenyalang dalam bidang pendidikan, tanpa mengira latar belakang.
Bukan sekadar bantuan secara langsung, tetapi juga secara tidak langsung, dengan menyediakan ruang pendidikan untuk anak bangsa menimba ilmu, dan pada masa yang sama meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Mulai tahun ini, sebanyak 6,246 pelajar menerima tawaran Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), yang melibatkan empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak.
Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 2,802 pelajar, diikuti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) seramai 2,031, Curtin University Malaysia (949) dan Kolej Universiti i-CATS (464).
Manakala 3,195 pelajar layak menerima elaun tahunan RM15,000 bagi menampung kos sara hidup dan penginapan.
Dalam Belanjawan 2027, Sarawak memperuntukkan RM338 juta untuk pendidikan.
Daripada jumlah tersebut sebanyak RM200 juta untuk pelajar yang menerima FTES.
Manakala RM50 juta untuk elaun wang saku pelajar peringkat diploma dan ijazah.
Sebanyak RM47 juta pula untuk memperkasakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, SeDidik, serta subsidi yuran dan geran Tadika/Taska,
RM21 juta untuk memperkukuh akses pendidikan dan meningkatkan kebajikan murid.
Manakala RM10 juta bagi diskaun bayaran balik PTPTN, RM8 juta bagi subsidi tiket penerbangan bagi pelajar yang menuntut di luar Sarawak.
Sementara itu, RM 2 juta untuk baucar buku.
Kos pengajian di institusi pengajian tinggi sering menjadi beban kepada ibu bapa, khususnya keluarga yang berpendapatan rendah.
Oleh itu, Kerajaan Sarawak telah memperkenal FTES yang mula dilaksanakan tahun ini.
Ia bertujuan memberikan peluang kepada anak tempatan melanjutkan pengajian tinggi tanpa dibebani yuran.
Matlamat utama rancangan ini adalah untuk memastikan anak Sarawak yang layak mendapat peluang pendidikan tinggi tanpa mengira latar belakang ekonomi keluarga.
Sebelum ini, terdapat pelajar yang terpaksa melupakan impian untuk melanjutkan pengajian kerana tidak mampu menanggung kos pendidikan, menyebabkan bakat dan potensi mereka tidak dapat dikembangkan sepenuhnya.
Melalui rancangan pendidikan tinggi percuma, beban kewangan keluarga dapat dikurangkan. Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang tentang pembayaran yuran pengajian anak-anak mereka.
Pada masa yang sama, pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan pencapaian akademik.
Inisiatif ini juga menunjukkan bahawa pendidikan merupakan pelaburan penting untuk masa depan Sarawak.
Sebanyak 64 program ijazah sarjana muda telah dikenal pasti untuk skim tersebut.
Antara bidang pengajian yang diberikan perhatian ialah sains, teknologi, kejuruteraan, matematik, perubatan, undangundang, perakaunan dan kewangan.
Pemilihan bidang ini bertujuan memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor ekonomi yang semakin berkembang.
Program pendidikan tinggi percuma bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar, malah menyumbang pembangunan ekonomi negeri.
Ia memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi, kejuruteraan, tenaga, perubatan, pertanian moden dan pelbagai sektor lain.
Dengan melahirkan lebih ramai graduan berkelayakan, Sarawak dapat meningkatkan keupayaan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri.
Siswazah tempatan berpeluang menyumbang kepakaran kepada pembangunan negeri sendiri.
Mereka boleh bekerja dalam sektor awam, swasta atau membangunkan perniagaan dan perusahaan baharu.
Ilmu yang diperoleh juga boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti, memperkenal inovasi dan menyelesaikan masalah masyarakat setempat.
Di samping itu, rancangan ini berpotensi mengurangkan jurang sosioekonomi antara keluarga berpendapatan tinggi dengan keluarga berpendapatan rendah.
Pendidikan yang lebih mudah diakses memberikan peluang kepada golongan muda untuk mengubah kehidupan melalui pekerjaan yang lebih baik.
Realitinya, dasar pendidikan Sarawak bukan sekadar mahu mengubah nasib rakyat, tetapi juga sebagai transformasi ekonomi masyarakat, seiring menuju negeri maju pada 2030.
Dengan pendidikan yang berkualiti dan peluang yang lebih luas, Sarawak bakal melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan mampu membawa negeri ini ke arah kemajuan yang lebih gemilang.
Melalui dasar ini juga kita bakal melahirkan lebih ramai pelajar, terutama daripada golongan B40 seperti Jasnita Kent dan Nur Hafizah Auda, bagi memenuhi keperluan semasa dan menyumbang ekonomi keluarga, serta kemajuan Bumi Kenyalang.






