ARTIKEL

HELLO KUCHING himpun penggiat seni

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Penggemar muzik, seni dan aktiviti kreatif di bandar raya ini berpeluang menikmati pengalaman hujung minggu yang berbeza menerusi penganjuran acara HELLO KUCHING @ LEK pada Sabtu ini.

Bertempat di 24, China Street, Kuching, acara yang menawarkan kemasukan percuma sepanjang hari itu bakal menghimpunkan penggiat muzik tempatan, persembahan deejay (DJ) serta bengkel kreatif dalam satu lokasi yang meraikan kepelbagaian seni dan budaya kontemporari.

Menampilkan Guccimith sebagai artis utama dalam bahan promosi, HELLO KUCHING @ LEK turut mengetengahkan beberapa persembahan muzik yang dijadualkan berlangsung di tingkat bawah, bermula pada jam 4.00 petang.

Pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan Dan Idan pada jam 4.00 petang, diikuti Guccimith pada jam 6 petang serta Rusty dan Paradisewhte pada jam 7.00 malam.

Selain persembahan muzik, acara itu turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk meneroka kreativiti menerusi bengkel seni ikat celup menggunakan pewarna organik (Tie Dye Workshop w/ Organic Colors) yang dikendalikan oleh Ashly Nandong.

Bengkel berkenaan akan berlangsung di tingkat satu, bermula pada jam 4.00 petang, sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung untuk mempelajari teknik seni ikat celup serta penggunaan pewarna berasaskan bahan organik.

Bagi penggemar muzik elektronik dan persembahan DJ, tingkat dua pula bakal menjadi lokasi bengkel Hot Cues (All-Girl DJ Workshop) pada jam 7.00 malam yang dikendalikan oleh Dan Idan.

Bengkel tersebut memberikan tumpuan kepada pelibatan wanita dalam bidang DJ, selain membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali dengan lebih dekat kemahiran dan kreativiti di sebalik persembahan muzik elektronik.

Acara pada sebelah malam diteruskan dengan segmen After Hours bersama Hurtden dan Veen yang dijadualkan bermula pada jam 10.00 malam di tingkat dua.

Dengan pelbagai aktiviti merangkumi persembahan muzik, bengkel seni dan persembahan DJ, HELLO KUCHING @ LEK menawarkan pilihan hiburan yang dapat dinikmati mengikut minat pengunjung.

Penganjuran acara seumpama itu turut menjadi platform pertemuan antara penggiat seni dengan komuniti setempat, di samping memberikan peluang kepada bakat kreatif untuk memperkenalkan karya dan kebolehan masing-masing kepada khalayak.

Orang ramai, khususnya golongan muda dan pencinta seni kreatif, dijemput memeriahkan HELLO KUCHING @ LEK pada 7 November ini di 24, China Street, Kuching.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan tanpa dikenakan bayaran masuk.

BERITA LAIN

ARAS perluas jaringan seni Borneo

Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS) berhasrat memartabatkan industri seni, budaya dan kreatif Sarawak pada peringkat serantau menerusi penganjuran Island Beats of Borneo 2027 yang bakal

BERITA TERBARU

Dasar pendidikan S’wak pacu ekonomi rakyat

“KALAU tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Peribahasa klasik ini membawa makna, cita-cita, harapan dan kejayaan tidak akan tercapai tanpa usaha gigih dan pengorbanan. Jasnita

KUCING bukan sekadar teman

MINGGU lalu, ketika sedang menyemak rencana yang dihantar oleh wartawan untuk diterbitkan, saya berbual santai dengan seorang rakan sepejabat. Saya memberitahunya, beberapa bulan lalu, dua