ARTIKEL

Piasau belum rela Sebastian berundur

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TANGGAL 24 Januari lalu, usianya telah mencecah 71 tahun.

Namun ia tidak menjadikan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew tampak tua.

Mungkin kerana senyum yang tidak pernah kering, tutur yang tidak pernah kasar dan ikhlas bersemuka sesiapa sahaja, menjadikan beliau sentiasa kelihatan muda, waima rambut sudah bersarang putih.

Sehingga pertengahan tahun ini, Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ini dikhabarkan akan menjadikan penggal ini yang terakhirnya.

Berita itu meniti dari bibir ke bibir dalam kalangan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri yang diwakilinya, DUN Piasau. Ramai yang memaklumkan perkara itu kepada penulis.

Puncanya, individu yang senang dikenali sebagai “Datuk Seb” masih bersedih dengan pemergian isteri tersayangnya, Datin Sylvia Lim Siew Lee.

Sylvia menutup mata terakhirnya pada 28 Ogos 2022 akibat barah paruparu di kediaman keluarga di Tanjong Lobang.

Pasangan ini sebelum ini telah menempuh usia perkahwinan selama 34 tahun dan dikurniakan lima anak — empat lelaki dan seorang perempuan.

Jika benar, berita ini, maka DUN Piasau, SUPP dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan kehilangan seorang pemimpin yang cukup dihormati dan disayangi rakyat di kawasannya.

Meski perwatakannya cukup sederhana dan merakyat, Sebastian Ting bukan sembarangan individu.

Beliau merupakan lulusan Politeknik London Utara sekitar tahun 1979 hingga 1982 sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B.) dengan kepujian Kelas Kedua Tinggi.

Minatnya terhadap bidang tersebut membawa beliau melanjutkan pengajian ke Kolej Darwin, Cambridge, sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang (LL.M.).

Kembali ke Malaysia, beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu undang-undang di firma Wan Ullok Jugah Chin & Co Advocates pada September 1984.

Empat tahun kemudian, beliau menjadi rakan kongsi firma tersebut, jawatan yang disandangnya sejak 1988 hingga April 2004.

Tempoh hampir dua dekad dalam dunia guaman membentuk asas profesional dalam dirinya sebelum memberikan tumpuan lebih besar kepada politik.

Bagi Sebastian Ting, perjalanannya selepas itu bukan sekadar kisah seorang peguam yang bertukar profesion menjadi wakil rakyat.

Ia adalah perjalanan panjang mengurus organisasi politik, setia kepada parti serta bangkit selepas kekalahan.

Sebastian Ting tidak memulakan perjalanan politiknya sebagai calon pilihan raya.

Sebaliknya, individu yang memainkan peranan dalam putaran baharu hidupnya ialah Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, bekas Ahli Parlimen Miri, Menteri Persekutuan dan Presiden SUPP.

Peter Chin yang bertanggungjawab membina pengalaman politik Sebastian Ting, dengan memilihnya sebagai Setiausaha Politik ketika parti itu masih menjadi komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Tugas ini membolehkannya memahami hubungan antara pentadbiran kerajaan, kepimpinan parti dengan keperluan masyarakat.

Juga mengajarnya bagaimana berhadapan dengan seluruh rakyat Dalam parti, Peter Chin memberinya tanggungjawab sebagai Setiausaha Publisiti dan Penerangan SUPP, satu tanggungjawab yang menuntut kefahaman terhadap komunikasi politik dan pembentukan persepsi awam.

Apabila Peter Chin berundur daripada kepimpinan parti pada 2014, SUPP melalui proses perubahan kepimpinan dengan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian mengambil alih jawatan presiden.

Pada 9 September tahun yang sama, Sebastian Ting dilantik sebagai Setiausaha Agung SUPP, menggantikan Dr. Sim.

Pelantikan tersebut menempatkannya dalam kelompok kepimpinan tertinggi parti ketika SUPP sedang berusaha membina semula kekuatan politiknya selepas mengalami kemerosotan sokongan dalam beberapa pilihan raya.

Dua tahun kemudian, Sebastian Ting berhadan ujian pertamanya.

Pada Pilihan Raya Umum Sarawak pada 7 Mei 2016, beliau dicalonkan SUPP untuk merampas kembali kerusi DUN Piasau daripada penyandangnya, Alan Ling Sie Kiong daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Ketika itu, SUPP berada dalam titik terendah.

Pertembungan ini menjadi perhatian kerana kedua-dua calon merupakan individu penting dalam parti msaing-masing.

Sebastian Ting merupakan Setiausaha Agung SUPP, manakala Alan Ling pula Setiausaha DAP Sarawak.

Kedua-duanya pula memiliki latar belakang yang sama, lulusan undang-undang.

Bagi SUPP, DUN Piasau bukan sekadar sebuah kerusi pilihan raya.

Kawasan itu mempunyai kepentingan politik yang besar kerana terletak di jantung kota Miri.

Sebastian Ting akhirnya menang, mengecewakan Alan Ling dengan majoriti 2,112 undi.

Kemenangan tersebut bukan sahaja membawa Sebastian Ting memasuki Dewan Undangan Negeri Sarawak buat kali pertama, malah membantu SUPP meraih kepercayaan rakyat, selain merampas kerusi Piasau selepas kerusi tersebut jatuh ke tangan pembangkang.

Kemenangan itu memberikan Sebastian Ting tiket untuk mencuba nasib dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018.

Beliau dicalonkan di Parlimen Miri, namun tewas kepada penyandang kerusi, Dr. Michael Teo Yu Keng daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ia merupakan detik sukar bagi SUPP kerana daripada tujuh kerusi yang ditandinginya, parti itu hanya berjaya memenangi satu kerusi.

Kekalahan tersebut mencetuskan kritikan terhadap kepimpinan parti, termasuk desakan daripada pihak tertentu supaya Sebastian Ting melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Agung.

Beliau bagaimanapun terus memainkan peranan untuk memulihkan prestasi SUPP.

Dalam politik, kekalahan sering menjadi ujian yang lebih besar daripada kemenangan.

Keupayaan seseorang pemimpin untuk terus bertahan bergantung bukan sahaja pada sokongan pengundi, tetapi juga keyakinan kepimpinan dan akar umbi parti terhadapnya.

Pada 22 Ogos 2019, Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan rombakan kecil Kabinet Negeri.

Sebastian Ting dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menggantikan Datuk Seri Lee Kim Shin yang dinaikkan sebagai menteri penuh.

Pada Pilihan Raya Umum Sarawak pada 18 Disember 2021, Sebastian Ting bertanding untuk penggal keduanya dan berhadapan saingan lima penjuru.

Kali ini beliau mempertahankan kerusi Piasau dengan majoriti 4,988 undi berbanding 2,112 undi pada 2016.

Peningkatan sebanyak 2,876 undi itu memperlihatkan Sebastian Ting amat disayangi rakyat di kawasannya.

Beliau ketika itu dilihat sebagai seorang yang amat mesra dan rajin turut kawasan untuk membantu rakyat sedapat yang boleh.

Beliau juga amat mudah ditemui dan didampingi.

Apabila Kabinet baharu Sarawak dibentuk selepas pilihan raya, Sebastian Ting sekali lagi diberikan kepercayaan untuk meneruskan tanggungjawab dalam sektor tersebut.

Bermula 4 Januari 2022, beliau menyandang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, di bawah Menteri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sebagai timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, Sebastian Ting berada dalam kedudukan untuk membantu menghubungkan dasar kerajaan dengan keperluan pemain industri.

Secara kebetulan, bandar Miri merupakan lokasi pelancongan yang strategik.

Kedudukannya berhampiran Brunei Darussalam, akses kepada kawasan tanah tinggi dan taman negara serta peranannya sebagai pintu masuk ke utara Sarawak menjadikan bandar itu antara pusat penting industri pelancongan negeri.

Setelah lebih sedekad berada dalam kepimpinan tertinggi SUPP dan sepuluh tahun sejak pertama kali dipilih sebagai ADUN Piasau, Sebastian pasti dinilai bukan sahaja berdasarkan jawatan yang disandang, tetapi juga sumbangan dan pencapaiannya.

Tetapi yang paling penting ialah sentuhannya kepada rakyat di kawasan dan sekitarnya.

Tutur lembut, senyum dan sentuhan ikhlasnya ketika menjabat tangan dan bertanya khabar sentiasa dikenang dan diingati.

Kerana itu tidak hairanlah hampir kesemua penduduk Piasau yang ditemui berasa ralat kalau Sebastian Ting mengundurkan diri atau tidak dicalonkan semula.

Tegas mereka, beliau masih pemimpin istimewa yang sentiasa membuka hati kepada rakyat – satu dalam seribu malah sejuta.

Jika rakyat bermasalah, beliau dahulu yang ‘terjun’ ke lapangan, membantu apa yang mampu.

Malah beliau dilihat sebagai seorang yang sukar marah dan tidak lokek dengan apa-apa jua pun.

Justeru jika alasan masih bersedih dengan kematian isterinya, rakyat amat memahami.

Namun mereka tetap mahukan beliau terus mewakili mereka, dan menjadi calon boleh menang.

Di atas kertas, jika Sebastian Ting kekal dengan keputusannya, maka antara nama yang berpotensi untuk diangkat ialah anak didiknya, Leslie Lau Ik Chie, yang juga

Ketua Pemuda SUPP Piasau – yang sentiasa berada di belakang perjuangan beliau.

Saingannya, sudah tentu daripada DAP dan difahamkan beberapa nama sedang dipersiapkan, bergantung kepada siapa yang akan diturunkan SUPP. 

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

BERITA LAIN

Tidak bekerja pun gelisah

SEMALAM saya asyik terfikir, jika suatu hari nanti saya tidak bekerja, bagaimana saya mahu menghabiskan masa 24 jam sehari? Saya sudah terlalu biasa dengan rutin

Siapa berundur, siapa diundur?

SETIAP kali menjelang pilihan raya, ada satu pertanyaan yang berlegar-legar dalam fikiran wakil rakyat: “Adakah nama saya masih dalam senarai?” Bagi rakyat dan pengundi di

BERITA TERBARU