KUCHING: Bermula dengan iklan pelaburan di media sosial pada penghujung September lalu, seorang wanita berusia 45 tahun akhirnya menanggung kerugian RM29,863 selepas melakukan lima transaksi pembayaran sepanjang Oktober.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata mangsa yang merupakan wanita tempatan mula tertarik dengan tawaran berkenaan selepas terlihat iklan pelaburan saham ketika berada di kediamannya pada 30 September lalu.
Menurutnya, mangsa kemudian menekan pautan iklan tersebut sebelum dihubungi seorang individu yang menawarkan pelaburan perniagaan.
“Mangsa diberikan penerangan mengenai pelaburan tersebut sebelum bersetuju menyertainya dan diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran kononnya bagi tujuan pelaburan.
“Wang yang dilaburkan dijanjikan akan dipulangkan bersama keuntungan ke dalam akaun pelaburan milik mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Alexson berkata, bermula 5 hingga 31 Oktober lalu, mangsa melakukan lima transaksi pembayaran ke lima akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM29,863.
Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya diperdaya selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburan bersama keuntungan seperti yang dijanjikan.
Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang diiklankan melalui media sosial, sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihannya.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), termasuk menggunakan kemudahan Investment Checker bagi mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan pelaburan.
“Orang ramai juga disarankan menyemak nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan mangsa penipuan yang baru sahaja membuat pemindahan wang ke akaun bank atau e-dompet suspek supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.
Selain itu, orang ramai digalakkan mengikuti akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi mendapatkan maklumat mengenai taktik dan modus operandi terkini penipuan dalam talian.





