TANJUNG MANIS: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Kampung Hulu Paloh ditemukan meninggal dunia oleh penduduk kampung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), tengah hari tadi.
Mayat mangsa, Musliman Mohammad, 28, ditemukan kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika operasi pencarian memasuki hari kedua.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa ditemukan pada jarak kira-kira lapan kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Operasi (PKO).
“Operasi pencarian hari kedua itu melibatkan anggota pasukan penyelamat bersama hampir 100 orang penduduk kampung.
“Berikutan penemuan itu, operasi SAR yang turut disertai beberapa agensi keselamatan ditamatkan selepas usaha pencarian selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, mangsa dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya bersama dua rakannya terbalik dipercayai akibat arus deras di perairan Kampung Hulu Paloh.
Dalam kejadian itu, dua rakannya termasuk pengemudi bot berjaya diselamatkan dengan bantuan penduduk setempat, manakala mangsa gagal ditemukan sebelum operasi pencarian dilancarkan.
“Kita juga memperluaskan pencarian hingga muara Sungai Paloh dengan menggunakan 20 bot penduduk kampung serta bot bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.




