KUCHING: SMD Semiconductor bakal menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat di China bagi mengaplikasikan reka bentuk cip semikonduktor Sarawak dalam penghasilan meter elektrik.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu mencerminkan potensi reka bentuk cip semikonduktor Sarawak untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Sekarang, cip kita sudah mula dibeli oleh negara luar, ini menunjukkan satu perkembangan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Swinburne Sarawak 2026 di Hotel Waterfront di sini, pada Selasa.
Beliau turut mendedahkan Sarawak kini turut meneroka bidang reka bentuk semikonduktor seperti yang dilakukan oleh Nvidia.
“Kerja reka bentuk semikonduktor dan cip dilakukan sendiri oleh Nvidia, kemudian proses pengeluarannya dilakukan oleh Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC) di Taiwan.
“Kita boleh mengambil pendekatan yang sama dengan mereka bentuk cip di X-FAB yang terletak di Samajaya bagi memperkukuh pelibatan Sarawak dalam industri semikonduktor.
“Justeru, kita memerlukan tenaga kerja berkemahiran, khususnya jurutera yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk cip dan teknologi berkaitan untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari, yang juga Pro-Canselor Swinburne Sarawak, menyaksikan penyampaian Anugerah Industri bagi Pencapaian Akademik Cemerlang kepada graduan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak.
Penerima anugerah terdiri daripada Keith Damian Singh Thind, Freda Kiu Ting Ting, Yong Wan Ming, Shirley Ang Jia Qi, Presley Johnathan Nishi, Kevin Wee Liang Siang, Wilson Ma Jun Yong, Teo Jia Ming, Cassandra Chung Qin dan Deron Foo Yijia.
Pada masa yang sama, Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) turut menyampaikan Anugerah Presiden BEM kepada Teo Jia Ming dan Rodney Leonardo Liaw Shoon Yung.
Dua graduan turut menerima pengiktirafan Yayasan Sarawak, iaitu Evan Wong Kuan Seng yang menerima Anugerah Graduan Cemerlang dan Nursyahida Abdul Rashid yang menerima Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak.

