Covid-19: 141 kes baharu, 118 pulih dan discaj

KUCHING: Sebanyak 141 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurut jawatankuasa tersebut, daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Miri (34), Bintulu (27), Serian (25), Sibu (17), Samarahan (9), Kuching (8), Tebedu (6), Tanjung Manis (5), Sarikei (3), dan masing-masing satu di Kanowit, Kapit, Meradong, Mukah, Selangau, Sri Aman dan Subis.

Jelasnya, daripada 141 kes baharu yang dilaporkan, seramai 24 orang bergejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan. “Manakala, sebanyak 124 kes adalah terdiri daripada individu yang telah dikenakan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan.

“Mereka ini terdiri daripada 121 orang yang merupakan individu yang telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan. Kata JPBNS, satu kes adalah individu yang balik dari Amerika Syarikat (Import A) dan dua kes adalah individu yang baru balik dari kawasan berisiko tinggi (Import B).

Dalam kenyataan yang sama, JPBNS melaporkan sebanyak 118 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini. Katanya, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 11,915 orang atau 81.30 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.

Manakala tambahnya, 141 individu bawah siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.

Suara Sarawak