Covid-19 tidak sekat Lucy M berkarya

JIKA dahulu, semasa musim Krismas kami sibuk menerima tempahan membuat persembahan di seluruh Sarawak, jelas penyanyi terkenal Dayak, Lucy Mapang atau lebih dikenali sebagi Lucy M.
“Sebelum ini, apabila tibanya Krismas saya tidak menang tangan menerima tempahan menyanyi yang dianjurkan oleh orang awam tetapi sekarang sudah lain.
“Sekarang kita perlu hidup dalam kelaziman baharu, malah saya sendiri pun takut hendak keluar,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak baru-baru ini.
Meskipun terjejas kerana penularan Covid-19, Lucy M berkata, beliau kini sibuk menyambung projek merakam lagu baharu yang terputus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu.
Beliau turut memberitahu dirinya tidak dapat balik kampung menyambut tahun baharu bersama-sama keluarga.
“Saya meneruskan projek merakam lagu dan pengambaran album baharu yang terputus akibat PKP.
“Saya juga berharap Covid-19 cepat hilang supaya kami dapat membuat persembahan seperti sebelum ini.
“Bagi mereka yang terkesan atau terjejas pendapatan kerana Covid-19, saya harap mereka terus bersabar,” jelasnya.
Lucy M terkenal dalam industri muzik Dayak menerusi lagu hitsnya seperti Minta Ngatur Pekara Tua, Dendam Enda Padam, Semina Tinggal Pengingat, Sayau Sampai Mati dan Merap Bulan.
Hasil suara yang lunak beliau berjaya menobatkan dirinya menjadi juara dalam Anugerah Lagu Terbaik (AJARR 2011) menerusi lagu Dendam Enda Padam.
Selepas itu, pada 2012 beliau sekali lagi menerima anugerah yang sama di tempat kedua menerusi lagu Buya Bepangan.
Pada 2014, beliau menerima Anugerah Vokal Terbaik menerusi Pertandingan Anugerah Carta Sapa Juara yang dikendalikan oleh RTM.
Selain menyanyi, Lucy M juga hebat dalam mencipta lagu.