Covid-19: Tiga kematian, 84 kes positif di Sarawak hari ini

KUCHING: Covid-19 mengorbankan tiga lagi nyawa warga emas di negeri ini, melibatkan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan (rakyat Sarawak).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ketiga-tiga kematian direkodkan di Sibu, sekali gus menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 53 kes.

Katanya kes kematian ke-51 merupakan kes positif ke-2,584 yang melibatkan seorang berumur 74 tahun, yang dimasukkan ke Hospital Sibu sejak didapati positif Covid-19 pada 25 Januari lalu.

“Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 7 Februari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Manakala kes kematian ke-52 atau kes positif ke-5,103 melibatkan seorang wanita berumur 60 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas, batuk, demam, lemah badan dan kurang selera makan.

“Ujian saringan rt-PCR kes ini menunjukkan keputusan positif Covid-19 pada 4 Februari lalu.

“Bagaimanapun, keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 8 Februari lalu. Kes mempunyai ko-morbid penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia,” katanya.

Bagi kes kematian ke-53, JPBNS menyatakan ia adalah kes positif ke-2,408 yang melibatkan seorang lelaki berumur 89 tahun.

“Kes dimasukkan ke Hospital Sibu apabila saringan kontak rapat dengan ujian rT-PCR adalah positif Covid-19 pada 19 Januari lalu.

“Keadaan kesihatan kes merosot dan disahkan meninggal dunia pada 08 Februari lalu. Malah, kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan dislipidemia,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 84 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini iaitu 24 kes di Sibu, Song (23), Miri (10), Bintulu (9), Julau (5), Kapit (4), Bau (2), Pakan (2), Sri Aman (2), Samarahan (1), Lundu (1) dan Sarikei (1).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 5,760 kes.