Covid-19: Tujuh kes sembuh di Sarawak hari ini

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan tujuh kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj dari hospital.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 64.

“Daripada tujuh kes positif telah sembuh tersebut, lima kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dua kes di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara, Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata lima lagi kes baharu positif Covid-19 direkodkan hari ini.

Katanya ia menjadikan jumlah kes sebanyak 408 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

“Kelima-lima kes ini telah dirawat di HUS,” katanya.

Manakala, beliau berkata sebanyak 99 kes baharu individu dalam siasatan (PUI) dilaporkan dan 95 kes PUI masih menunggu keputusan makmal.

Suara Sarawak