ARTIKEL

Datuk Seri Julaihi Narawi menjawab soalan media ketika mengadakan lawatan ke tapak Projek Bekalan Air Serian Fasa Dua, Tangki Aras Tinggi Melikin. Foto Ghazali Bujang

Cuaca Panas: Lapor Isu Air Kepada Pejabat Residen Untuk Penyelarasan Bantuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Penduduk yang berdepan masalah bekalan air, terutama ketika musim panas, disaran menyalurkan aduan melalui pejabat residen masing-masing bagi memudahkan penyelarasan bantuan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) akan memberikan bantuan apabila diperlukan, khususnya di kawasan yang berada di bawah liputan sistem bekalan air jabatan tersebut.

Menurut beliau, petugas JBALB juga sentiasa turun padang dari semasa ke semasa untuk menjalankan tanggungjawab serta berinteraksi dengan komuniti setempat apabila diperlukan.

“JBALB merupakan agensi pelaksana bagi projek bekalan air luar bandar di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi.

“Apabila terdapat keperluan untuk mendapatkan penjelasan atau permintaan maklumat, pegawai JBALB akan turun ke kawasan terlibat, khususnya kawasan yang berada di bawah liputan perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak Projek Bekalan Air Serian Fasa Dua, Tangki Aras Tinggi Melikin di sini.

Julaihi berkata, bagi kawasan yang masih belum berada di bawah liputan rangkaian bekalan air JBALB, aduan perlu disalurkan melalui pejabat residen supaya bantuan yang bersesuaian dapat diatur.

Katanya, sekiranya terdapat keperluan mendesak untuk bekalan air, JBALB bersedia menggunakan lori tangki miliknya untuk menghantar bekalan ke kawasan terjejas.

Selain itu, pejabat residen juga boleh menyelaras bantuan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membekalkan air minuman botol kepada penduduk.

“JBALB bersedia membantu walaupun kawasan tersebut belum berada di bawah liputan apabila terdapat permintaan.

“Namun matlamat jangka panjang kita adalah untuk terus memperluas liputan bekalan air ke lebih banyak kawasan di seluruh negeri,” katanya.

Datuk Seri Julaihi Narawi (tengah) dan Datuk Snowdan Lawan (kiri) mendengar taklimat daripada Jurutera Air Bahagian Serian, Jill Jackson (kanan) di tapak projek Tangki Aras Tinggi Melikin. Foto Ghazali Bujang

BERITA LAIN

BERITA TERBARU