ARTIKEL

Cubaan buang paket syabu gagal, dua individu ditahan polis Mukah

Cubaan buang paket syabu gagal, dua individu ditahan polis Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Tindakan seorang lelaki cuba melupuskan bahan dipercayai dadah dengan mencampakkannya ke dalam semak gagal apabila perbuatannya dikesan pasukan polis dalam serbuan di kawasan pinggir hutan Jalan Lama Mukah–Balingian, di sini, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, operasi kira-kira jam 1 petang itu dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat risikan.

Menurut beliau, dalam serbuan tersebut, pihak polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 44 tahun bersama seorang wanita tempatan berumur 37 tahun yang menaiki sebuah motosikal di lokasi kejadian.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek lelaki dilihat membuang satu objek mencurigakan ke kawasan semak berhampiran sebelum kedua-duanya ditahan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan berbentuk kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar 0.63 gram.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah bagi tindakan lanjut termasuk ujian saringan air kencing yang mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan tambahan dijalankan terhadap suspek lelaki mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku bahan terlarang yang ditemui itu adalah milik mereka. Kedua-dua individu yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit tersebut kini direman selama tiga hari sehingga 1 Mei ini bagi membantu siasatan.

Sehubungan itu, pihak polis menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras penyalahgunaan dadah dan menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut dengan menghubungi talian hotline 084-871222 atau hadir ke balai polis berhampiran.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU