KUCHING: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian ‘cubaan mencurigakan’ ke atas seorang wanita di kawasan Jalan Sultan Tengah di sini, 30 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis (ACP) Alexson Naga Chabu mengesahkan pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita tempatan berumur 34 tahun sekitar 1.03 petang hari yang sama.
“Menurut laporan, kejadian berlaku pada lebih kurang 7.15 pagi ketika mangsa berada di kawasan Jalan Sultan Tengah.
“Seorang lelaki tidak dikenali cuba menyapa mangsa dari arah belakang, menyebabkan wanita itu berasa tidak selamat lalu membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Bertindak atas maklumat yang diterima Alexson menambah, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian itu sekitar 6.15 petang di kawasan berhampiran Taman Sukma, Kuching.
Hasil ujian saringan awal air kencing ke atas suspek didapati negatif dadah, namun semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, katanya.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 354/511 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444 atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintenden Polis (ASP) Suziana Suleiman di talian 016-8009244.



