Cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM87,000 gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup arak daripada negara jiran bernilai RM87,000 berjaya digagalkan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am(PGA) selepas memeriksa dua buah kontena, semalam.

Kontena berisi 545 kotak minuman keras itu ditemui ditinggalkan tanpa pemilik di lorong Setapok Selatan 11B Kuching.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai berkata,Op Libas yang melibatkan seramai 15 anggotanya termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) Sarawak dijalankan pada 4.30 petang hasil risikan awal dan maklumat diperoleh.

“Pihak serbuan telah membuat intipan awal namun tiada pemilik yang datang bagi mengambil barangan berkenaan.

“Barangan tersebut dipercayai diseludup melalui jalan darat daripada negara jiran untuk dipasarkan ke kawasan Kuching,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Rosdi, suspek yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan masih lagi dalam proses siasatan, manakala barang rampasan diserahkan ke ibu pejabat polis Padawan untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan terhadap pemilikan barangan tersebut.

“Justeru, saya memohon agar mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penyeludupan ini supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat khususnya kepada Polis Diraja Malaysia dalam menangani jenayah,” ujarnya.

Ruangan kontena penuh berisi dengan kotak minuman keras bernilai RM 87,000

Suara Sarawak