Cubaan seludup minuman keras tumpas

SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sibu berjaya mematahkan cubaan penghantaran minuman keras yang belum diluluskan oleh pihaknya pada 25 Jun lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada dua kes penemuan cubaan penghantaran minuman keras yang belum diluluskan.

“Dalam kes pertama, pasukan peguat kuasa Kastam Sibu membuat rondaan di jeti persendirian pada jam 10.15 pagi dan menjumpai minuman keras yang belum mendapat kelulusan kastam.

“Minuman keras sebanyak 200 karton itu diletakkan di dalam tempat penyimpanan barang yang berbentuk segi empat menyerupai kontena,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambah Halimah, minuman keras itu cuba dihantar menggunakan kapal ke kawasan Kapit dan Song.

Katanya, nilai barangan yang dirampas adalah RM7,199.91 dengan duti keseluruhan RM23,763.23.

“Kes kedua pula, kita berjaya merampas 60 karton atau 2,000 tin minuman keras yang belum mendapat kelulusan kastam dalam satu serbuan di sebuah syarikat penghantaran di sini pada jam 12.55 petang pada hari sama.

“Semasa melakukan serbuan, pasukan penguatkuasaan Kastam Sibu menjumpai minuman keras yang dibungkus dengan plastik hitam sebagai modus operandi untuk menyembunyikan minuman keras terbabit,” jelasnya.

Kata Halimah, hasil daripada maklumat yang diperolehi semasa serbuan, minuman keras berkenaan sepatutnya dihantar ke kawasan sekitar dan luar Sibu.

Tegasnya, nilai rampasan dianggarkan RM1,963.61 dengan cukai keseluruhan sebanyak RM5,898.76.

Menurutnya, semua barang yang dirampas dibawah ke Pejabat Kastam Sibu untuk siasatan lanjut.

“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat.

“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” ujarnya.

Jika disabitkan bersalah, denda RM100,000 atau 10 kali nilai barang atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duannya sekali.

Oleh itu, Halimah menggesa semua pihak termasuk peniaga untuk peka dan mematuhi undang-undang supaya tidak menanggung kerugian dan kesulitan.