KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan komitmen menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Hal Ehwal Sekerja (JHEKS), termasuk membawa isu perjawatan jabatan itu ke peringkat kerajaan.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata JHEKS memainkan peranan penting membantu kesatuan sekerja seluruh negara dengan pelbagai inisiatif.
“Usaha memperkukuh perjawatan JHEKS wajar dipertimbangkan kerajaan demi kelangsungan fungsi jabatan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kesatuan Pembantu Makmal (Pelajaran) Negeri Sarawak (KESPEMS) di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Adnan turut merakamkan penghargaan kepada JHEKS kerana terus menyalurkan bantuan dan peruntukan kepada kesatuan secara konsisten.
“Tahniah kepada KESPEMS kerana menerima geran PHEKS berjumlah RM20,000 bagi tahun 2025.
“Geran tersebut sangat membantu kesatuan menjalankan program tahunan dan wajar ditambah mengikut keperluan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa kesatuan memanfaatkan geran PHEKS sebagai dana latihan serta penganjuran program pembangunan.
Dalam pada itu, Pengarah JHEKS Sarawak, Tujoh Bachat, menzahirkan penghargaan kerana banyak kesatuan menerima geran PHEKS tahun ini.
“Kesatuan sekerja banyak membantu JHEKS melaksanakan aktiviti di seluruh negara. Geran PHEKS yang disalurkan ini sangat membantu kesatuan bergerak menjalankan program.
“Kesatuan yang merasakan geran ini tidak mencukupi boleh memohon geran tambahan tahun depan,” katanya.
Program Pendidikan PHEKS 2025 KESPEMS berlangsung selama dua hari, melibatkan hampir 50 ahli seluruh Sarawak dan diharap dapat meningkatkan kefahaman mengenai peranan berkesatuan serta memupuk solidariti demi kebajikan ahli.

