LYDIA AMAN
KUCHING: Seorang lelaki tempatan diperintahkan bon menjaga keamanan selama enam bulan dengan jaminan RM1,000 beserta seorang penjamin tempatan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mencuri wang neneknya untuk membayar hutang.
Daniel Ting, 22, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumah neneknya di Taman Stampin, kira-kira jam 4 petang, 27 Jun lalu.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan neneknya berusia 74 tahun menyedari bahawa cucunya (tertuduh) telah mencuri wang tunai berjumlah RM3,000 miliknya yang disimpan di dalam beg silang dalam almari pakaian.
Semasa kejadian, hanya pengadu dan tertuduh sahaja yang berada di dalam rumah dan mengesahkan bahawa ia bukan pertama kali cucunya mencuri wang miliknya.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku mengambil wang terbabit untuk kegunaan peribadinya iaitu membayar hutang dan permainan judi dalam talian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



