KUCHING: Seorang ahli perniagaan dijatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana mencuri elektrik dengan memasang kabel asing pada pendawaian utama sebuah premis komersial di Moyan, Batu Kawa, Ogos tahun lalu.
Tertuduh berusia 29 tahun tersebut menukar pengakuan bersalahnya semasa perbicaraan kes di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Tertuduh didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik (Bab 50), kerana memasang kabel asing dan memintas meter elektrik.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah premis komersial di Moyan, Jalan Tondong-Batu Kawa, antara 10.30 pagi hingga 2 petang, 20 Ogos 2025.
Iris menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM35,000 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan.
Selain itu, Iris memerintahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya dia gagal menjelaskan denda.
Semasa prosiding kes, Timbalan Pendakwa Raya Ronald Felix Hardin memaklumkan kepada mahkamah bahawa Alvin sebagai pelanggan berdaftar dan pemegang lesen, secara tidak jujur mengaut bekalan elektrik melalui kabel penoreh.
Tertuduh menyambungkan kabel penoreh ke pendawaian utama premis ke dalam kedai yang disewanya di tingkat bawah bangunan.
Tertuduh hadir ke mahkamah diwakili Peguam Clement Wong dan Christopher Wong.
Manakala, beberapa pegawai penguat kuasa dari Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan Unit Siasatan Syarikat SESCO Berhad turut hadir semasa prosiding mahkamah.


