KUCHING: Dua rakan sejenayah masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi dan sistem IT.
Tertuduh pertama, 48, dan tertuduh kedua, 37, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh tambahan penjara tiga bulan sekiranya gagal melangsaikan denda yang dikenakan.
Menurut fakta kes, pada 20 Oktober lalu, sekitar 6.30 petang, di Federal Park, Matang, pengadu merupakan pekerja syarikat menyedari kabel telekomunikasi yang diletakkan di luar pagar rumah telah dicuri orang.
Anggaran kerugian yang dialami syarikat sekitar RM1,000.
Laporan polis dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tiga individu pada 31 Oktober lepas.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh bersama dengan seorang lagi rakan mereka mencuri kabel berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mempertontonkan aksi mereka.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di mahkamah yang sama, seorang lagi rakan sejenayah mereka, 52, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.
Leona membenarkan tertuduh diikat jamin tunai RM2,500 beserta seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 3 Disember depan.




