KUCHING: Seorang wanita berusia 33 tahun dijatuhkan hukuman denda RM800 selepas mengaku bersalah kerana merokok di tempat larangan.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu bagi pertuduhan di bawah Seksyen 16(2), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Dalam prosiding sama, seorang lelaki berusia 57 tahun turut mengaku bersalah atas kesalahan di bawah seksyen sama dan didenda RM750.
Kedua-dua tertuduh telah menjelaskan denda masing-masing.
Bagaimanapun, seorang lagi lelaki berusia 36 tahun yang mengaku bersalah atas kesalahan sama gagal menjelaskan denda RM800 yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama seminggu di Penjara Puncak Borneo, Kuching, sebagai ganti kegagalan membayar denda.
Menurut kenyataan media Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), ketiga-tiga tertuduh sebelum ini diberikan notis kesalahan di bawah Seksyen 47 akta sama dan tempoh sebulan untuk hadir ke Pejabat Kesihatan bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
Namun, mereka gagal berbuat demikian sehingga tamat tempoh ditetapkan, menyebabkan kes masing-masing dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(2), manakala hukuman adalah berdasarkan peruntukan Seksyen 16(3), Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Pegawai Pendakwa daripada Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, Mohd Fairos Ibrahim, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum.
Tindakan penguatkuasaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai supaya mematuhi notis dan arahan penguatkuasaan, termasuk menyelesaikan kompaun dalam tempoh ditetapkan serta menghormati kawasan larangan merokok yang diwartakan.
Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching akan terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkenaan.





