KUCHING: Kuching City FC muncul penyumbang kedua terbanyak pemain kepada skuad Harimau Malaya apabila enam tonggaknya dipanggil menyertai 24 pemain kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa menentang China dan Yaman, bulan ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataannya memaklumkan, kedua-dua perlawanan antarabangsa Tahap 1 itu menjadi sebahagian daripada persiapan skuad kendalian Ketua Jurulatih Interim, Tan Cheng Hoe untuk meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
“Perlawanan ini adalah sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan dalam usaha mendapatkan pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa serta memperkukuh persediaan pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang,” menurut kenyataan FAM, semalam.
Berdasarkan senarai diumumkan semalam, enam pemain Kuching City yang mendapat kepercayaan Cheng Hoe terdiri daripada dua penjaga gol, Haziq Nadzli dan Haziq Aiman Esa serta pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie.
Turut disenaraikan ialah dua pemain tengah, Ryan Lambert dan Safawi Rasid serta penyerang, Ramadhan Saifullah Usman yang bakal memperkuat cabaran negara dalam kedua-dua perlawanan berkenaan.
Sementara itu, dua lagi pemain Kuching City, Declan Lambert dan Nazmi Faiz Mansor diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya berlaku perubahan skuad utama, bersama bekas pemain The Cats, Danial Asri yang kini beraksi bersama DPMM FC.
Dalam pada itu, Cheng Hoe mengekalkan 11 pemain daripada skuad 23 pemain yang meraih tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta dan Bandung, Indonesia pada 25 September hingga 5 Oktober lalu.
Beliau turut memanggil semula tiga pemain daripada skuad Piala Hyundai ASEAN 2026, selain menyenaraikan 10 pemain lain termasuk dua muka baharu, Ahmad Haziq Kutty Abba dari Terengganu FC dan A. Selvan dari Selangor FC.
Pemilihan kali ini turut menyaksikan tiada pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) disenaraikan, manakala Selangor FC muncul penyumbang terbesar dengan tujuh pemain.
Ketiadaan wakil JDT mencuri perhatian ketika Harimau Selatan turut mempunyai komitmen dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN, Piala Shopee yang dijadual berlangsung pada 19 November ini.
Skuad Harimau Malaya dijadual berkumpul pada Isnin, 9 November sebelum berlepas ke China pada keesokan harinya bagi menjalani persiapan menghadapi kedua-dua perlawanan tersebut.
Malaysia akan membuka aksi menentang China pada Sabtu, 14 November jam 8 malam sebelum berdepan Yaman pada Selasa, 17 November jam 2 petang, dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong.
Berdasarkan kedudukan terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia kini menghuni tangga ke-133 dunia, manakala China di kedudukan ke-96 dan Yaman ke-144.






