KUCHING: Gara-gara tertarik dengan iklan pinjaman wang di Facebook, seorang lelaki berusia 42 tahun kerugian RM30,487.50 selepas diperdaya individu yang menawarkan pinjaman RM20,000 menggunakan nama sebuah institusi perbankan.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian bermula kira-kira 12 tengah hari pada 19 Oktober lalu ketika mangsa berada di sebuah hospital swasta di Jalan Stutong.
Menurutnya, mangsa yang merupakan warga tempatan terlihat iklan pinjaman menggunakan nama Boost Bank sebelum menekan butang ‘Apply Now’ kerana berminat dengan tawaran berkenaan.
“Mangsa kemudiannya dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Jeremy Lee daripada bahagian kewangan Boost Bank,” katanya dalam kenyataan.
Alexson berkata, pada 26 Oktober lalu, mangsa dimaklumkan bahawa permohonan pinjaman berjumlah RM20,000 diluluskan sebelum diarahkan membuat beberapa pembayaran kononnya bagi melengkapkan urusan pinjaman tersebut.
Katanya, mangsa yang mempercayai arahan itu melakukan sebanyak 12 transaksi pembayaran ke tujuh akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM30,487.50.
“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya diperdaya apabila wang pinjaman yang dijanjikan tidak dikreditkan ke dalam akaun bank miliknya walaupun semua pembayaran dilakukan.
“Susulan kejadian itu, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda,” katanya.
Sehubungan itu, Alexson menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman wang yang diiklankan menerusi media sosial.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan pengesahan daripada institusi kewangan berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang keraguan atau mengesyaki diri menjadi mangsa penipuan boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau mendapatkan nasihat daripada balai polis dan bank berhampiran,” katanya.





