ARTIKEL

Kes Dadah Berulang: Lelaki Dipenjara Lima Tahun, Dua Sebatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu melebihi tiga kali.

Tertuduh, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datu Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, dia mempunyai dua rekod lampau pada 19 September dan 10 Oktober 2024 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi pertuduhan kali ini dia didakwa mengambil dadah terlarang sekali lagi jenis methamphetamine dan amphetamine ketika ditangkap dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Padawan, sekitar 3.30 petang, 3 Ogos lepas.

Pendakwaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1)(b)  daripada akta yang sama.

Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Manakala, Seksyen 39C (1)(b) akta yang sama membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebat tidak lebih daripada tiga sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, mahkamah memerintahkan dia di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Menurut fakta kes, semasa kejadian pihak polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berulang lalu membawanya ke balai polis untuk siasatan.

Hasil ujian pertama saringan awal air kencing tertuduh didapati positif dadah.

Hasil laporan sampel urin tertuduh dari Jabatan Patologi Hospital Umum Sarawak mengesahkan tertuduh positif jenis dadah syabu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh pernah dijatuhi hukuman denda RM900 atau penjara dua minggu oleh Mahkamah Majistret kerana menceroboh masuk rumah seorang lelaki dalam keadaan mabuk.

Pendakwaan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU