ARTIKEL

TAHAN… Suspek yang mencuri produk kesihatan bernilai RM476 dari sebuah kedai farmasi di Pelita Commercial Centre, di sini berjaya ditahan.

Curi produk kesihatan RM476, lelaki ditahan di Bekenu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Tidak sampai seminggu selepas mencuri produk kesihatan bernilai RM476 dari sebuah kedai farmasi di Pelita Commercial Centre, di sini, seorang lelaki tempatan akhirnya dicekup polis di Bekenu.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di Kampung Keluru Jaya, Bekenu, kira-kira 12 tengah hari, 14 September lalu.

“Kami menerima laporan berhubung kejadian itu pada 11 September lalu, kira-kira 12.10 tengah hari.

“Kejadian berlaku kira-kira 8.18 malam, 10 September lalu apabila suspek dipercayai mengambil barangan niaga dari rak paparan sebelum keluar dari premis tanpa membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Farhan menambah, perbuatan suspek dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di dalam premis berkenaan.

Katanya, bertindak atas maklumat diterima serta hasil risikan dijalankan, polis berjaya mengesan dan menahan suspek di Kampung Keluru Jaya, Bekenu.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan tidak mempunyai pekerjaan.

“Suspek juga merupakan penagih tegar dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga 19 September ini bagi membantu siasatan.

Siasatan katanya turut dijalankan bagi mengenal pasti kaitan suspek dengan satu lagi kes curi yang dipercayai mempunyai modus operandi sama di daerah Miri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebatan bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya,” jelasnya lagi.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU