ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis dari bilik Mahkamah Majistret 2.

Curi Tiga iPhone Dalam Urusan Jual Beli, Lelaki Dihukum Penjara dan Denda

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Berselindung di sebalik helah mahu membeli telefon, seorang lelaki tempatan akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 11 bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas didapati mencuri tiga telefon pintar jenama iPhone milik tiga individu.

Lelaki itu memperdayakan mangsa dengan berpura-pura berminat membeli telefon mereka sebelum melarikan setiap telefon berkenaan dalam tiga kejadian berasingan.

Tertuduh, 21, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibacakan di dua Mahkamah Majistret berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri telefon pintar iPhone 16 Pro Max milik seorang lelaki warga China berusia 29 tahun di sebuah rumah di Kuching City Mall, sekitar 12.30 tengah malam, 28 Oktober lepas.

Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa mencuri telefon pintar iPhone 16 Pro milik seorang wanita berusia 24 tahun di sebuah kedai makan di Jalan Tun Jugah, sekitar 12.49 tengah hari, 15 Oktober lepas.

Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara lima bulan bagi pertuduhan pertama. Manakala, pertuduhan kedua dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mencuri telefon pintar iPhone 15 Pro Max milik seorang lelaki berusia 29 tahun di hadapan rumah mangsa di Kampung Siburan, sekitar 1 petang, 20 Oktober lepas.

Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh.

Menurut fakta kes, modus operandi tertuduh dengan berpura-pura berminat hendak membeli telefon pintar yang diiklankan di media sosial lalu menghubungi mangsa.

Dia datang sendiri bertemu ketiga-tiga mangsa untuk urusan jual beli telefon terbabit menggunakan sebuah kereta Perodua Axia berwarna kelabu dengan nombor plat yang berbeza-beza.

Bagi dua kes tertuduh sendiri datang ke rumah dua mangsa berlainan bagi urusan jual beli, dia memperdayakan mangsa untuk membuka bahagian kad SIM pada telefon yang hendak dibeli.

Ketika mangsa leka masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil pin pembuka kad SIM, tertuduh terus melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran.

Kesemua mangsa tampil membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 28 Oktober lepas.

Hasil siasatan mendedahkan, terdapat rakaman pada kamera papan pemuka milik salah seorang mangsa menunjukkan aksi tertuduh melarikan telefon pintar terbabit.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nurul Aqila Morsalin dan DPP Muhammad Aidil Akmal Sharidan. Manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU