ARTIKEL

Bapa, Anak dan Pasangan Kembar Kongsi Kejayaan di Pentas Graduasi UNIMAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Usia bukan penghalang untuk seorang bapa kembali menuntut ilmu dan berjaya menggenggam ijazah bersama-sama anak tiri perempuan, sementara sepasang kembar turut meraikan kejayaan akademik pada majlis graduasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Detik istimewa itu bukan sahaja menjadi kenangan bermakna buat keluarga terbabit, malah membuktikan pendidikan mampu menyatukan generasi berbeza dalam mengejar impian dan mencapai kejayaan.

Muhammad Nur Adzahari (dua kanan) dan Muhammad Nur Izamie meraikan kejayaan mereka bersama-sama ibu bapa mereka. |FOTO: GHAZALI BUJANG

Mohamad Aswad Jaiman, 46, yang berasal dari Kuching, berjaya menamatkan pengajian bersama-sama anak tiri perempuannya, Natasha Alyaa Mohamad Hata, 23, selepas mengambil keputusan menyambung pelajaran meskipun sudah 26 tahun berada dalam alam pekerjaan.

Aswad berkata, hasrat melanjutkan pengajian pada awalnya tidak pernah terlintas dalam fikirannya sehingga ketuanya di tempat kerja beberapa kali memberikan dorongan supaya beliau kembali menyambung pelajaran.

Katanya, selepas mendapatkan maklumat daripada UNIMAS, beliau disarankan mengikuti laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL A) bagi membolehkannya menyambung pengajian berdasarkan pengalaman kerja.

“Pada mulanya saya tidak begitu mengambil serius cadangan ketua, tetapi beliau bertanya semula selepas seminggu sama ada saya sudah mendapatkan tempat untuk belajar.

“Saya mula mencari maklumat dan menghubungi universiti sebelum mendapat panduan laluan APEL A,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.

Beliau mengakui penggunaan teknologi maklumat termasuk kecerdasan buatan (AI) menjadi antara cabaran ketika menyiapkan tugasan akademik, namun bantuan Natasha banyak memudahkan proses pembelajaran khususnya dalam menyemak dan memperbetulkan penulisan.

Natasha yang mengikuti pengajian dalam bidang Linguistik di Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) turut menjadi sumber sokongan kepada bapanya sepanjang mereka menempuh kehidupan sebagai mahasiswa.

Aswad menyifatkan peluang bergraduasi bersama-sama anak sebagai pengalaman istimewa dan tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi sekiranya berpeluang.

Sementara itu, kejayaan turut diraikan pasangan kembar berusia 23 tahun, Muhammad Nur Adzahari dan Muhammad Nur Izamie Ismadi, dari Kampung Melayu, Samarahan, yang berjaya memperoleh ijazah pada majlis graduasi sama.

Muhammad Nur Adzahari berkata, kejayaan itu membawa kegembiraan tersendiri kerana mereka berdua dapat menamatkan pengajian serentak sekali gus menghadiahkan pencapaian membanggakan kepada ibu bapa, Ismadi Mahbu dan Norliza Hassan.

Katanya, beliau sendiri tidak menyangka dapat mencapai tahap berkenaan meskipun mempunyai perancangan untuk melanjutkan pengajian sebelum ini.

Menariknya, kedua-duanya mengikuti pengajian dalam bidang dan fakulti sama iaitu bidang Sastera dalam Linguistik di FPBK.

Sepanjang pengajian, mereka turut berdepan pengalaman mencuit hati apabila rakan sekuliah dan pensyarah kadangkala tersalah menyebut nama atau menganggap mereka sebagai individu yang sama.

Mengulas perancangan selepas bergraduasi, Muhammad Nur Adzahari berkata, mereka mahu memberi tumpuan mencari pekerjaan terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sekiranya berpeluang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU