ARTIKEL

Anak petani buktikan kekurangan bukan penghalang genggam ijazah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Berasal daripada keluarga sederhana dengan bapa bekerja sebagai petani di Kampung Long Wat, Murum, Belaga, tidak pernah mematahkan semangat Clarissa Baun Labang untuk mengejar cita-cita sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.

Sebaliknya, pengorbanan dan kesungguhan ibu bapanya memastikan lima beradik mendapat pendidikan terbaik, menjadi pembakar semangat wanita berusia 24 tahun itu untuk membuktikan latar belakang keluarga bukan penghalang mencapai kejayaan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, perjalanan menuntut ilmu bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila terpaksa berjauhan daripada keluarga sepanjang tempoh pengajian.

Beliau yang mendapat pendidikan awal di SMK Bakun, mengakui pengalaman sepanjang berada di UNIMAS dipenuhi pelbagai cabaran, termasuk beban tugasan akademik dan kekangan kewangan.

Bagaimanapun, sokongan ibu bapanya yang sentiasa mengingatkan supaya memberikan sepenuh perhatian kepada pelajaran menjadi kekuatan untuknya meneruskan pengajian.

“Kadang-kadang saya berasa lemah apabila berdepan pelbagai cabaran tetapi ibu bapa sentiasa memberikan semangat supaya teruskan belajar.

“Mereka berpesan supaya saya tidak terlalu memikirkan masalah kewangan kerana perkara itu akan diusahakan, tanggungjawab saya ialah belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, DeTAR Putra, di sini, hari ini.

Selain sokongan keluarga, Clarissa memberitahu persahabatan dengan rakan sekuliah yang memahami dan sentiasa memberikan dorongan turut membantunya mengharungi kehidupan sebagai mahasiswa.

Katanya, peluang melanjutkan pengajian menerusi bantuan Biasiswa Yayasan Sarawak turut menjadi antara faktor penting yang membolehkannya menamatkan pengajian dengan jayanya.

Minat mendalam dengan bahasa Inggeris mendorongnya memilih bidang Pendidikan Bahasa dan Komunikasi, sekali gus membuka ruang untuk membina kerjaya dalam bidang pendidikan.

Beliau yang berasal dari pedalaman Belaga itu berharap kejayaan diraih dapat membanggakan kedua-dua ibu bapanya, selain menjadi inspirasi kepada anak muda dari kawasan luar bandar supaya tidak mudah berputus asa mengejar pendidikan tinggi.

Selepas menamatkan pengajian, Clarissa berhasrat memulakan kerjaya dalam bidang yang diminatinya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

PJ Reds sasar ke separuh akhir

KUCHING: Kejohanan Bola Sepak sempena Festival LFC Se-Borneo Edisi Ke-10 2026 akan berlangsung di Lahad Datu, Sabah pada Sabtu dan Ahad ini. Jika kebanyakan pasukan