ARTIKEL

Pendaratan Helikopter Milik Layang-layang Aerospace Di Kidurong Bukan Kecemasan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pendaratan helikopter milik Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd (LLASB) di Kidurong, di sini, semalam, bukan berpunca daripada kecemasan, sebaliknya dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga ketika pesawat itu dalam penerbangan penempatan semula (repositioning flight).

LLASB dalam kenyataan hari ini turut menjelaskan helikopter berdaftar 9M-LLE itu tidak terbabit dalam sebarang misi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS) atau Pemindahan Perubatan (Medical Evacuation – MEDEVAC) ketika pendaratan dilakukan.

Pengurus Bertanggungjawab LLASB, Kapten Shahdon Potong, berkata helikopter berkenaan mendarat pada kira-kira 3.18 petang, 4 November, dan tindakan itu bukan pendaratan kecemasan seperti yang mungkin ditanggapi berdasarkan laporan awal kejadian.

Beliau berkata juruterbang dan dua juruteknik yang berada di dalam helikopter itu berada dalam keadaan selamat sepanjang kejadian, tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

“Juruterbang bertugas memaklumkan kepada Kawalan Trafik Udara Bintulu berkaitan situasi berkenaan ketika pendaratan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, juruterbang turut meminta pasukan tindak balas kejuruteraan bergerak syarikat hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan teknikal serta penilaian sewajarnya ke atas helikopter berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Penjelasan itu dikeluarkan susulan kejadian pendaratan helikopter berkenaan yang menarik perhatian orang ramai, selepas beberapa gambar pesawat itu tersebar di media sosial dan mencetuskan persoalan keadaan sebenar kejadian.

Shahdon berkata LLASB sentiasa meletakkan keselamatan penerbangan sebagai keutamaan tertinggi dengan memastikan setiap prosedur operasi dan teknikal dilaksanakan selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan yang berkuat kuasa.

Beliau turut memaklumkan syarikat akan mengeluarkan kenyataan lanjut hari ini selepas meneliti hasil pemeriksaan serta penilaian teknikal yang dijalankan pasukan kejuruteraan ke atas helikopter berkenaan.

Kejadian itu mula mendapat perhatian orang ramai selepas video memaparkan sebuah helikopter FDS berwarna kuning berada di kawasan lapang berhampiran kawasan perumahan Sri Pertiwi, Kidurong, tular di media sosial.

Insiden berkenaan turut mengundang perhatian susulan kejadian nahas membabitkan sebuah lagi helikopter FDS berhampiran pangkalan Pesawat Berlepas dan Mendarat Jarak Pendek (STOL) Long Lellang, Ulu Baram, pada 8 September lalu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU