KOTA SAMARAHAN: Pengalaman dan kepakaran 44 tokoh akademik, industri serta profesional dimanfaatkan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi merapatkan jurang antara pembelajaran di universiti dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan.
Usaha itu diketengahkan menerusi pelancaran buku UNIMAS Adjunct Professors: Advancing Excellence through Academia–Industry Synergy 2025–2026 yang menghimpunkan sumbangan 44 ahli akademik adjung dalam memperkukuh hubungan universiti dengan sektor industri dan profesional.
Pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Pro-Canselor UNIMAS Datuk Amar Douglas Uggah Embas sempena Istiadat Konvokesyen UNIMAS Ke-30 di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS, Prof Ir Ts Dr Al Khalid Othman dalam kenyataan berkata, penerbitan itu menghimpunkan profil 38 profesor adjung, dua profesor madya adjung dan empat pensyarah kanan adjung yang berkhidmat di 11 fakulti serta sebuah institut.
Katanya, kumpulan berkenaan terdiri daripada ahli akademik tempatan dan antarabangsa, tokoh industri, pengamal perubatan, pemimpin sektor awam serta profesional daripada pelbagai bidang.
Menurutnya, kepakaran mereka dimanfaatkan secara langsung dalam pengajaran dan pembelajaran menerusi kuliah jemputan, bimbingan, nasihat kurikulum, penyeliaan projek, penyelidikan bersama serta rundingan strategik.
Pendekatan itu membolehkan mahasiswa mendapat pendedahan lebih dekat dengan amalan sebenar industri, sekali gus memahami kemahiran dan kompetensi yang diperlukan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Antara sumbangan yang diketengahkan termasuklah kepakaran profesional seni bina dalam kuliah dan penilaian studio reka bentuk, perkongsian amalan serta penyelesaian pertikaian dalam industri pembinaan dan kepakaran klinikal bagi menghubungkan latihan akademik dengan amalan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, pelibatan 44 ahli akademik adjung itu mencerminkan komitmen UNIMAS memperluas jaringan kepakaran bagi meningkatkan peluang pembelajaran, penyelidikan dan inovasi yang memenuhi keperluan semasa.
Penerbitan berkenaan turut selari dengan Pelan Strategik UNIMAS 2026–2030, khususnya dalam memperkasa pendidikan transformatif, melahirkan graduan bersedia menghadapi masa depan serta memperkukuh kerjasama strategik dengan industri dan komuniti.
Buku terbitan UNIMAS Publisher itu mengandungi empat bab utama yang merangkumi kerangka pelantikan, profil ahli akademik adjung, bentuk penglibatan dan sumbangan mereka serta cadangan penambahbaikan kerjasama pada masa hadapan.
Antara cadangan dikemukakan termasuk perancangan pelibatan tahunan, penyelarasan kepakaran dan penilaian keberhasilan bagi memastikan sumbangan golongan profesional itu dapat dimanfaatkan secara lebih tersusun dan berkesan.
Penerbitan berkenaan bukan sahaja menjadi penghargaan ke atas sumbangan ahli akademik adjung, malah mencerminkan usaha berterusan UNIMAS memperkukuh pemindahan ilmu dan pembangunan bakat bagi memenuhi keperluan Sarawak serta negara.




