ARTIKEL

PEMERIKSAAN PERBARISAN... DCP Saifullizan Ishak memeriksa kawalan kehormatan pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching, hari ini.

Dadah kekal antara punca utama jenayah di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penyalahgunaan dadah masih dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kegiatan jenayah di Sarawak apabila 965 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2026 didapati positif dadah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak, berkata daripada 3,763 individu yang ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah dalam tempoh berkenaan, seramai 965 orang atau 26 peratus disahkan positif dadah.

“Statistik itu menunjukkan penyalahgunaan dadah masih menjadi antara faktor penyumbang kepada perlakuan jenayah dan gangguan terhadap keselamatan awam, sekali gus menuntut usaha penguatkuasaan serta pencegahan yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut Saifullizan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak terus memperlihatkan komitmen tinggi dalam membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah menerusi tindakan penguatkuasaan yang dipertingkatkan di seluruh negeri.

PEMERIKSAAN PERBARISAN… DCP Saifullizan Ishak memeriksa kawalan kehormatan pada Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi Julai 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching, hari ini.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Julai 2026, katanya, JSJN Sarawak merekodkan 8,460 tangkapan berbanding 6,375 tangkapan dalam tempoh yang sama pada 2025, meningkat sebanyak 32.7 peratus.

“Daripada jumlah itu, pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 berjaya dikesan dan diambil tindakan, termasuk kes membabitkan aktiviti bekalan, pemilikan serta penyalahgunaan dadah.

“Dalam tempoh yang sama, seramai 429 pengedar dadah berjaya diberkas hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan,” katanya.

Saifullizan berkata, JSJN Sarawak turut mencatatkan kejayaan besar dalam aspek rampasan apabila nilai rampasan pelbagai jenis dadah dan racun mencecah RM64 juta, berbanding RM11 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak RM52.9 juta atau 477.8 peratus.

Selain itu, katanya, tindakan pencegahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 turut menunjukkan peningkatan apabila 18 tangkapan direkodkan berbanding 11 tangkapan pada tahun sebelumnya, meningkat sebanyak 63.6 peratus.
“Peningkatan ketara dalam jumlah tangkapan serta nilai rampasan dadah yang direkodkan tahun ini membuktikan kesungguhan dan komitmen berterusan PDRM Sarawak dalam membanteras ancaman dadah.

“Kejayaan itu juga mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi Tiada Hari Tanpa Tangkapan yang digerakkan JSJN Sarawak menerusi pendekatan bersepadu melibatkan risikan, penguatkuasaan, pencegahan serta kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, melalui penguatkuasaan yang konsisten, tindakan berasaskan risikan yang tepat serta operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh negeri, pelbagai aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah berjaya dikesan, dibanteras serta diambil tindakan.

Katanya, PDRM Sarawak akan terus memperkukuh usaha bagi memastikan setiap ruang dan peluang yang digunakan sindiket serta individu yang terbabit dalam aktiviti dadah dapat dikenal pasti dan ditangani secara tegas demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta keharmonian masyarakat di Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU