BAU: Tindakan pantas polis menahan sebuah motosikal membuahkan hasil setelah penunggangnya didapati membawa dadah jenis syabu di hadapan sebuah kedai runcit Love Stationary, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, suspek merupakan lelaki warga tempatan, 21, dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Bau sekitar jam 6 petang.
“Hasil pemeriksaan menjumpai sepeket plastik kecil berwarna merah berisi ketulan kristal syabu seberat 0.21 gram di dalam poket kecil bahagian hadapan sebelah kanan seluar suspek.
“Suspek juga didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine hasil ujian saringan awal air kencing,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bau untuk tindakan lanjut.
Tegasnya, suspek ditahan di bawah Seksyen kini ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 15(1)(a) ADB 1952.
Tambahnya, semakan rekod lampau bagaimanapun mendedahkan suspek tiada kesalahan rekod jenayah.
Ujarnya, tahanan reman terhadap suspek akan dipohon pada 24 Julai untuk tindakan siasatan lanjut.
“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” tegasnya lagi.


