SIERRA LEONE: Dadah berbahaya yang dihasilkan daripada tulang manusia menjadikan penagih kelihatan seperti mayat hidup atau zombi.
Dadah digelar kush itu diharamkan namun menjadi rebutan penagih di Sierra Leone serta mendapat permintaan tinggi. Keadaan ini memaksa pengedar menggali kubur untuk mendapatkan tulang orang yang sudah mati.
Akhbar The Sun melaporkan, kush dijual dan dihisap secara terbuka di jalanjalan sekitar bandar ibu negara, Freetown.
Manakala, Akhbar Daily Star melaporkan, dadah sintetik itu juga diperbuat daripada campuran herba, bahan kimia toksik, pembasmi kuman dan tulang manusia.
Ramuan sebenar dadah yang sangat menyebabkan ketagihan itu kekal misteri, namun opioid seperti fentanyl sering dijumpai di dalamnya.
Tulang manusia yang berada di bawah tanah mengandungi kesan sulfur yang meningkatkan kesan khayal dadah,demikian menurut seorang pakar perubatan.
Disebabkan itu, pengedar telah bertukar menjadi perompak kubur dengan menjarah ribuan kubur untuk mencuri rangka bagi memenuhi permintaan, kata penduduk tempatan.
Kebanyakan penagih sanggup menghabiskan sehingga 233 leone (RM47.33) sehari, yang merupakan satu nilai yang besar untuk negara dengan purata pendapatan tahunan kurang daripada 11,669 leone (RM2,371) itu.
Golongan muda yang mengambil kush sering berkumpul beramai-ramai, duduk terkulai dan ada masanya tidur sambil berdiri.
Ketika sedang khayal, penagih zombi ini sering merayau-rayau ke tengah jalan raya atau berisiko jatuh dari tempat tinggi.
Manakala, akhbar The Telegraph melaporkan tiada rekod rasmi mengenai kematian berkaitan dadah tersebut, pakar kesihatan menganggarkan kira-kira 12 pengih mati setiap minggu, dengan mayat mereka ditemui di kawasan setinggan.



