D’akasya Busker julang nama Kampung Selalang

Menamakan kumpulan mereka sebagai D’akasya Buskers, tiga anak muda yang berasal dari Kampung Selalang ini cuba mengetengahkan bakat mereka dalam persada muzik tempatan.

Siapa sangka kumpulan yang ditubuhkan pada 31 Disember 2018 sudah menempah nama dalam diam lantaran sering menerima undangan untuk mengadakan persembahan di Selalang mahupun sekitar Sarikei.

D’akasya dibarisi Oppie (gitar utama), Bobop (gitar kedua) dan Letty Qween ( Vokalis) sememangnya memasang niat dan iltizam tinggi untuk memastikan impian mereka untuk bertapak, sebaris dengan pemuzik Bumi Kenyalang menjadi kenyataan.

Letty berkata, ilham untuk menubuhkan sebuah band bersama Oppie dan Bobop timbul selepas menerima undangan di sebuah homestay terkemuka di Kabong pada penghujung tahun lepas.

“Ketika itu D’Akasya Homestay memerlukan sebuah band untuk mengadakan persembahan. Saya memilih Oppie dan Bobop kerana mereka memang berbakat.

Letty, Bobop dan Oppie bakat luar biasa dari Kampung Selalang

Tambahan pula kami sekampung dan senang berlatih. Hasil gabungan itu tertubuhlah sebuah band buskers yang belum ada nama.

“Kami menamakan band sebagai D’Akasya sempena nama homestay itu. Saya bersyukur hasil persefahaman antara kami, D’Akasya kekal hingga ke hari ini,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Menurut Letty, sokongan kuat daripada pelbagai pihak menyuntik semangat D’Akasya untuk terus mengorak langkah.

Malah katanya, mereka terus mencuba pelbagai jenis genre lagu di samping mencari keserasian bersama ketika tampil membuat persembahan sesuai dengan acara yang disediakan oleh penganjur.

“Sudah rezeki kami apabila mendapat jemputan untuk persembahan bagi beberapa acara penting di Sarikei baru-baru ini. Antaranya, berbasking sempena acara berbasikal di Taman Sebangkoi dan majlis bersama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah.

“Saya juga amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang banyak menyokong sekaligus menghidupkan aktiviti kesenian anak – anak muda khususnya di Kampung Selalang,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri temubual, Letty sempat memberitahu harapan serta perancangan masa hadapan mereka.

“Kami sedar untuk bertahan dalam sebuah kumpulan bukan mudah namun, D’ Akasya berazam untuk terus memberikan persembahan terbaik agar orang ramai terhibur,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan khidmat D’Akasya boleh melayari facebook Letty Qween.

Foto kenangan selepas persembahan di D’Akasya Homestay Kabong

 

Persembahan bersahaja tetapi menghiburkan

 

emputan mengadakan persembahan sempena cabaran Berbasikal Sebangkoi satu penghormatan buat D’Akasya.