KUCHING: Dakwaan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berhubung pengambilalihan MASwing sebagai lambat dan secara literal tidak dilaksanakan adalah jahil.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Kho Teck Wan berkata, maklumat berkaitan pengambilalihan syarikat penerbangan itu juga tersedia untuk umum.
“Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Datuk Seri Lee Kim Shin memberi maklumat terkini pengambilalihan Maswing di akhbar beberapa kali sejak cadangannya dua tahun lalu.
“Pengumuman dibuat pada Jun 2023 bahawa pasukan petugas disediakan untuk memastikan pengambilalihan Maswing lancar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu katanya, Chieng Jen harus meminta penjelasan daripada pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan untuk mengetahui status terkini pemerolehan MASwing.
Teck Wan yang juga Pengerusi Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, memandangkan pemerolehan MASwing ialah perbelanjaan yang besar, usaha wajar adalah perlu untuk memastikan wang pihak berkepentingan dibelanjakan dengan bijak dan bertanggungjawab.
“Pembelian yang begitu besar tidak boleh dibuat tergesa-gesa. Tiada pihak yang harus ditekan untuk membuat keputusan yang cepat dan tergesa-gesa kerana tekanan dan kenyataan Chieng Jen,” katanya.
Tambahnya, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier dan Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman merupakan individu yang tepat untuk menjawab sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Chieng Jen sebelum ini tentang usaha kerajaan Sarawak dalam memberi subsidi tiket penerbangan.
Tambahnya, Fazzrudin juga merupakan penasihat Sukarelawan Sarawak, badan bukan kerajaan yang membantu memudahkan inisiatif i-GPS.



