KUCHING: Budaya menyebarkan dakwaan tanpa pengesahan boleh menjejaskan semangat serta reputasi petugas kesihatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan bahawa doktor dan jururawat terikat dengan peraturan ketat kerajaan Persekutuan, sekali gus tidak dapat mempertahankan diri secara terbuka apabila berdepan tuduhan tidak berasas.
“Saya sangat bersimpati dengan doktor dan jururawat. Mereka bekerja keras setiap hari, dan apabila perkara seperti ini terus berlaku, ia boleh menjejaskan semangat mereka.
“Mereka tidak boleh membalas kenyataan di media sosial atau media massa, kerana tidak diberi keistimewaan tersebut. Malah, mereka juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan undang-undang, meskipun dituduh secara terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong, di Facebook yang mendakwa seorang pesakit menunggu hampir 20 jam di Pusat Jantung Sarawak tanpa mendapat rawatan pakar kardiologi.
Menurut Dr Sim, penyebaran maklumat yang tidak tepat boleh membawa implikasi undang-undang kerana tidak tertakluk kepada ‘keistimewaan bersyarat’ dari sudut perundangan.
“Kita sememangnya mahu memperjuangkan kebenaran, tetapi perjuangan itu harus berlandaskan fakta yang sah dan disahkan.
“Jika sebaliknya, ia bukan satu keistimewaan — bahkan boleh diklasifikasikan sebagai fitnah dari segi undang-undang,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan reputasi Pusat Jantung Sarawak yang menurutnya telah diiktiraf oleh majalah antarabangsa Newsweek sebagai antara 100 hospital kardiologi terbaik di rantau Asia Pasifik selama dua tahun berturut-turut.
“Pusat Jantung ini merupakan satu-satunya hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut.
“Ini sepatutnya menjadi kebanggaan kita semua, bukan dijadikan bahan serangan,” katanya.
Untuk rekod, pada 29 Mac lalu, ADUN Pending telah memuat naik tangkap layar aduan seorang wanita yang mendakwa suaminya terpaksa menunggu hampir 20 jam di hospital tanpa rawatan pakar jantung.
Wanita berkenaan turut mendakwa dimaklumkan oleh doktor di Jabatan Kecemasan bahawa mereka perlu menunggu sehingga Rabu untuk berjumpa pakar kerana waktu itu adalah hujung minggu, manakala cuti Aidilfitri jatuh pada Isnin dan Selasa.

