PUTRAJAYA: Permohonan Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM15 juta bagi enam kategori di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dibuka mulai 16 Nov ini.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menjelaskan dana itu bertujuan memberi peluang kepada bakat baharu, memperluas kerjasama antarabangsa dan membuka ruang kepada artis veteran terus berkarya.
Selain itu, dana tersebut turut menggalakkan penghasilan kandungan baharu seperti mikro drama bagi memenuhi keperluan pasaran digital.
Permohonan boleh dikemukakan secara dalam talian menerusi Sistem Pengurusan dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di https://sppik.finas.my, manakala penggiat industri berkelayakan digalakkan mencuba nasib tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Fahmi memaklumkan perkara itu pada sidang media sempena kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2026 di Putrajaya, dengan maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan, garis panduan dan tatacara permohonan akan diumumkan melalui laman sesawang serta media sosial rasmi FINAS seperti dilapor Bernama.





