KUCHING: Anak Sarawak golongan B40 tidak lagi berdepan kekangan untuk melanjutkan pelajaran ke universiti apabila Dana Pendidikan Perpaduan Sarawak (SUEF) menawarkan biasiswa tanpa cagaran.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi Sarawak yang mengutamakan pembangunan bakat dan modal insan.

Katanya, ia juga merupakan komponen penting dalam menyokong peralihan negeri ini kepada ekonomi baharu berdasarkan tenaga boleh diperbaharui atau hijau, hidrogen dan teknologi digital.
“Justeru, kita perlu memperkasakan anak muda dan kanak-kanak negeri ini, termasuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan bagi pertumbuhan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian sempena Majlis Pelancaran SUEF di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa hingga hari ini, jumlah derma yang diterima daripada syarikat korporat swasta serta beberapa individu sudah mencecah RM3.57 juta.
Untuk makluman, permohonan biasiswa penuh dan separa itu boleh dilakukan di laman web SUEF yang akan dibuka menjelang pembukaan semester baharu iaitu sekitar September tahun ini.
Antara kriteria permohonan adalah anak Sarawak berusia 16 hingga 25 tahun, mempunyai kad pengenalan dengan indikator ‘K’, dan pendapatan keluarga tidak melebihi RM4,000 dan lain-lain.
Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin, Penasihat SUEF, Datuk Amar Tan Sri Abdul Aziz Husain dan Datuk Richard Wee, Pengerusi SUEF, Datuk Richard Lee Say Tshin, para penyumbang serta wakil lain.


