ARTIKEL

Larry menyampaikan secara simbolik pemberian projek yang diterima oleh Akun Deraman (enam kiri) selaku YDP PIBG SK Nanga Sembawang.

Dana PMR RM34,000 diagihkan kepada SK Nanga Sembawang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Dana sebanyak RM34,000 melalui Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Julau telah diagihkan, termasuk membaiki jalan berbumbung dan pembelian ‘Smart TV’ bagi kegunaan SK Nanga Sembawang.

Agihan tersebut telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Julau, yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Datuk Larry Sng Wei Shien, pada Majlis Apresiasi Dan Kecemerlangan Murid di sekolah tersebut.

Dalam ucapannya, Larry berkata pembelian ‘Smart TV’ berkenaan adalah selari dengan perkembangan pembelajaran digital yang semakin meluas pada masa kini.

“Penggunaan ‘Smart TV’ pada masa kini sangat penting untuk proses pendidikan, dan saya berharap agar murid-murid kita mendapat manfaat,” katanya.

Larry menyampaikan ucapan pada Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Murid SK Nanga Sembawang.

Beliau turut menyifatkan ini sebagai pelaburan dalam modal insan melalui pendidikan agar mampu melahirkan modal insan yang berdaya saing dalam pelbagai bidang suatu hari nanti.

Pada masa yang sama juga, beliau berharap agar para ibu bapa memainkan peranan yang penting, termasuk memberi sokongan kepada para guru.

“Ibu bapa juga perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka di samping menyokong para guru.

“Malahan pada hemat saya, yang paling utama adalah kejayaan yang terletak pada diri murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mencapai kejayaan.

“Pada saya, kejayaan anak-anak tuan dan puan merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan puan sebagai waris,” ujarnya.

Jelas Larry lagi, peranan pendidikan pada masa kini telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya.

Katanya, para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar, tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak tinggi.

“Hal ini adalah selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

“Dalam konteks ini, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara,” ungkap Larry.

Oleh itu, ujarnya, semua perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi berterusan.

Jelasnya lagi, pelbagai usaha dilakukan untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut adalah amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21.

“Selama ini, kita beranggapan pelibatan para ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak di sekolah berlaku semula jadi.

“Namun dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat.

“Seyogia, ibu bapa menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah,” kata Larry.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU