LUNDU: Kerajaan Sarawak telah meluluskan dana berjumlah RM200 juta bagi membina loji rawatan air yang baharu di Lundu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, perkara ini telah dimaklumkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi dalam sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, baru-baru ini.

“Manakala, bagi projek Bekalan Air Wilayah Lundu Sematan yang bermula pada tahun hadapan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027,” katanya.
“Kerajaan Sarawak juga menyalurkan dana berjumlah RM779,000 untuk menyediakan sebanyak 917 tangki air sandaran bagi mengatasi masalah kekurangan air di kawasan DUN ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan tangki air kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di bawah konstituensinya, di Pejabat Daerah Lundu, semalam.
Menyentuh mengenai pengagihan tangki tersebut, Azizul berharap agar KMKK memantau sepenuhnya proses ini agar setiap rumah yang memerlukan mendapat sumbangan ini.
Tambahnya, diharapkan ia dapat memberi manfaat sebelum projek bekalan air siap sepenuhnya pada tahun 2027.



