Dap janji lagi, kini tawar geran tanah

KUCHING: Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berjanji akan mengeluarkan geran tanah untuk penduduk di Jalan Selangan Batu, di sini sekiranya mereka menang dalam PRN yang akan datang. Adun Kota Sentosa itu berkata, meskipun sudah menetap selama 20 hingga 30 tahun di kawasan itu penduduk yang belum mendapat geran tanah.

“Saya ingin membuat satu perjanjian – jika kami menang besar PRN yang akan datang, kami akan pastikan geran tanah di sini akan dikeluarkan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 di Jalan Selangan Batu, Pending di sini semalam.

Tambahnya, selain mengeluarkan geran tanah, mereka juga akan memperbaiki keadaan di kawasan tersebut. “Jika anda setuju, kita boleh membina pangsapuri untuk anda semua, bukan untuk orang lain dan bukan juga untuk kroni. “Ia adalah apa yang dibina oleh Kerajaan untuk rakyat di sini,” katanya.

Beliau juga menjelaskan, walaupun mereka berada di bawah Kerajaan Persekutuan tetapi isu tanah adalah di bawah kuasa autonomi Kerajaan Sarawak. “Kami tidak mampu berbuat apa-apa selain menjadi Kerajaan Sarawak terlebih dahulu. Selepas itu baharulah kami boleh bertindak,” tegasnya.

Pada PRN-11 lalu, Chieng Jen mengekalkan kerusi Dun Kota Sentosa untuk penggal ketiga mengalahkan calon BN Wilfred Alfred Yap dengan majoriti 4,824 undi. Manakala pada PRU-14, Chieng Jen menawan kerusi Parlimen Stampin menyingkirkan calon BN, Datuk Seri Sim Kui Hian dengan mojoriti 14,221 undi.

Kemenangan itu membolehkan Chieng Jen memegang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwah Pengguna selepas Kerajaan Persekutuan memeritah. Bagaimanapun, selepas hampir dua tahun memerintah, PH seringkali dilabel sebagai kerajaan yang gagal menunaikan manifestonya.

Suara Sarawak