KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah membuat satu laporan polis berhubung cadangan meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi perdana menteri.
Ia bertujuan supaya pihak berkuasa dapat menyiasat kenyataan berbaur hasutan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Soo Tien Ren berkata, laporan yang dibuat menekankan kepada Perlembagaan Malaysia tidak mendiskriminasi mana-mana kumpulan minoriti.
“Sebaliknya, pendahulu kita sentiasa menitikberatkan semangat meritokrasi dalam merangka perlembagaan, memastikan peluang sama rata dan menjaga kepentingan kumpulan terpinggir. Ini merangkumi semangat demokrasi Perlembagaan Malaysia.
“Justeru, kenyataan yang dikeluarkan boleh menimbulkan permusuhan dalam kalangan pelbagai etnik Malaysia, selain bercanggah dengan semangat perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, beliau percaya bahawa usaha untuk mempertahankan sistem politik Malaysia yang sekular dan pelbagai perlu dilakukan, tidak berkompromi dengan kuasa ekstremis.
Oleh itu, DAP membuat laporan polis bagi memastikan kuasa ekstremis terus diperangi demi kepelbagaian kaum yang ada di negara ini.
“Ini bukan sahaja untuk melindungi Sarawak daripada penghakisan kuasa ekstremis, tetapi juga untuk melindungi Malaysia tercinta dan menjadikannya sebuah negara yang lebih baik.
“Jika retorik sedemikian tidak mewajarkan campur tangan polis, diskriminasi minoriti akan terus bebas dan membawa kepada kezaliman majoriti,” katanya.

